Malaysia Dateline

Keputusan Korea Utara tidak ramah, tidak konstruktif kata Hishamuddin

Malaysia amat kesal dengan keputusan Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein Malaysia mengecam keputusan tersebut sebagai tidak ramah, tidak konstruktif serta tidak menghormati semangat saling menghormati dan hubungan baik sesama anggota masyarakat antarabangsa.

“Kerajaan Malaysia akan mengeluarkan perintah untuk semua staf diplomatik dan tanggungan mereka di Kedutaan DPRK di Kuala Lumpur untuk meninggalkan Malaysia dalam tempoh 48 jam dari hari ini, 19 Mac 2021,” katanya melalui facebook.

Katanya, Malaysia terpaksa akur dengan keputusan Korea Utara untuk menutup Kedutaan Malaysia di Pyongyang, yang operasinya telah ditangguhkan sejak 2017.

Dalam kenyataan Wisma Putra berkata kerajaan akan mengeluarkan arahan supaya semua kakitangan diplomatik dan tanggungan mereka di Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur meninggalkan Malaysia dalam masa 48 jam mulai hari ini.

Menurut laporan media, Pyongyang pada Jumaat mengumumkan akan memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia selepas mahkamah awal bulan ini memutuskan seorang ahli perniagaan dari Korea Utara diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) atas tuduhan pengubahan wang haram.