Malaysia Dateline

Keputusan laksana PKPB mengejut, hormati kuasa kerajaan negeri

Dr Sulaiman Mohd Nor

Rata-rata pemimpin Pakatan Harapan (PH) Johor membidas amaran Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadap kerajaan negeri yang enggan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Adun Kemelah, Dr Sulaiman Mohd Nor berkata, peringatan bekas pemimpin PKR itu seolah-olah mengugut kerajaan negeri hanya untuk menunjukkan kuasa kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, amaran Azmin itu dilihat tidak wajar kerana kerajaan pusat dan negeri saling bergantung dalam membangunkan ekonomi negara dan negeri.

“Sepatutnya sebagai Menteri Kanan yang bertanggungjawab terhadap perdagangan dan industri, berbincang dengan wakil-wakil negeri kaedah terbaik membuka semula ekonomi negeri-negeri secara bersepadu dan lebih terselaras.

“Kerajaan negeri secara langsung bertanggungjawab terhadap kehidupan dan nyawa warga negeri disamping menjaga kepentingan kehidupan setiap warga negeri.

“Bukan mudah bagi kerajaan negeri membuat keputusan, apatah lagi dalam keadaan tiba-tiba apabila keputusan mengejut dibuat terhadap PKPB yang bermula semalam, sedangkan secara mental ramai bersedia untuk pelaksanaan pada 12 Mei nanti,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Lanjut Dr Sulaiman berkata, kerajaan negeri lebih mengetahui tahap kesediaan masing-masing dengan mengambil pendekatan ‘soft landing’ melalui persiapan lebih rapi serta persediaan mental yang lebih jitu,” ujarnya.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor itu turut keliru dengan tindakan kerajaan negeri yang bersetuju dengan PKPB tanpa mengambil kira kemampuan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Adakah ini bermakna ada kilang dan syarikat akan beroperasi pada satu kawasan dan ada yang tidak akan beroperasi?

“Kerajaan negeri perlu tahu bahawa kilang dan syarikat antara daerah saling berkait dalam dunia rantaian bekalan,” katanya lagi.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri menuruti langkah kerajaan Persekutuan dengan melaksanakan PKPB berkuat kuasa serta merta namun mengikut kemampuan setiap kawasan PBT dalam menjalankan penguatkuasaan, selain menangani penularan wabak Covid-19.

Hassan Abdul Karim

 

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan Azmin dan kerajaan Persekutuan tidak boleh hanya sekadar bergantung punca kuasa dari Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) untuk memaksa kerajaan negeri menurut kehendak Pusat.

“Merujuk butiran No.7 dalam Senarai III, senarai bersama Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa kerajaan Persekutuan bersama-sama kerajaan negeri-negeri mempunyai kuasa bersama dalam perkara Kesihatan Awam dan Pencegahan Penyakit.

“Perlu diingat bahawa Senarai III, Senarai Bersama Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan status kuasa perundangannya lebih tinggi berbanding akta 342 tersebut,” hujahnya.

Sehubungan itu, Hassan menyeru supaya Azmin, Muhyiddin Yassin dan kerajaan pusat supaya mengambil pendekatan yang terbaik dengan menghormati kuasa kerajaan-kerajaan negeri.

“Malaysia ini sebuah Persekutuan yang mengamalkan prinsip ‘federalisme’ yang bidang kuasa masing-masing (negeri dan persekutuan) telah tertulis dengan nyata di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan itu perlu dilihat ada kewibawaan, diyakini, tepat dan boleh dipertanggungjawabkan supaya ia akan dihormati oleh semua pihak, sama ada rakyat, pihak industri, pelabur dan masyarakat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan media.

Semalam, pelaksanaan PKPB menyaksikan enam negeri enggan membuka sektor ekonomi iaitu Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan dan Kedah.