Malaysia Dateline

Keputusan longgarkan PKP langkah tergesa-gesa

Timbalan Pengerusi AMANAH Melaka, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab menyifatkan keputusan kerajaan untuk membenarkan lebih banyak sektor dalam negara dibuka semula Isnin (4 Mei) ini sebagai langkah tergesa-gesa.

Hal ini kata beliau, disebabkan wabak Covid-19 di Malaysia masih belum pulih dan belum tentu ianya tidak merebak dengan lebih teruk pada masa hadapan.

“Pada pandangan saya kerajaan dan rakyat harus bersabar supaya keadaan benar-benar selamat dan diyakini tidak merebak semula barulah kelonggaran diberikan.

“Selain itu pengumuman yang dibuat oleh Muhyiddin Yasin yang memberikan kelonggaran bermula pada 4 Mei adalah tergesa-gesa. 1 Mei diumumkan, 4 Mei ianya dilaksanakan.

“Hanya 3 hari digunakan untuk mendidik rakyat dengan amalan baru ketika bekerja dan berada di tempat tertentu yang menjadi tumpuan ramai. Mana mungkin tempoh sesingkat ini mampu mendidik rakyat kita yang terkenal agak susah menerima amalan-amalan baru yang agak menyusahkan mereka ini.” kata beliau dalam satu kenyataan.

Adun Durian Tunggal itu mencadangkan kelonggaran ini diberikan bermula pada 25 Mei iaitu selepas sambutan Hari Raya Aidil Fitri.
Katanya, tempoh yang agak panjang mesti diberikan bagi membolehkan rakyat dididik dengan kebiasaan baru di tempat kerja dan tempat-tempat yang menjadi tumpuan ramai.

“Gunakan tempoh tiga minggu ini juga untuk mengajar rakyat bagaimana hendak mengamalkan SOP ‘social distancing’ dan menyesuaikan diri semasa di tempat-tempat umum.

“Selain itu tempoh 3 minggu ini juga adalah cukup bagi membolehkan ‘frontliner’ yang bertindak mengawal selia tempat-tempat kerja dan tempat-tempat umum ini disusun dan diberi latihan tentang ‘job scope’ dan tindakan perlu diambil jika berlaku pelanggaran SOP,” kata beliau.

Tambah beliau, tidak salah untuk kerajaan membuat ‘u turn’ untuk membatalkan tarikh kelonggaran ini diberikan dengan memilih tarikh yang lebih jauh umpama 25 Mei seperti yang saya cadangkan kerana apa yang lebih penting ialah keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan di Malaysia akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bermula Isnin ini.

Beliau berkata, mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, Majlis Keselamatan Negara dan Jemaah Menteri telah mengadakan perbincangan secara panjang lebar dalam mencari jalan mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung wabak Covid-19.