Keputusan mahkamah kurangkan pampasan bekas guru gantian hamil dikesali

Keputusan mahkamah kurangkan pampasan bekas guru gantian hamil dikesali

Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam mengurangkan pampasan yang diterima seorang bekas guru gantian, Noorfadilla Ahmad Saikin daripada RM300,000 kepada RM30,000 adalah satu ketidakadilan kepada mangsa diskriminasi gender, tegas Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.

Zuraida menyifatkan pengurangan 90 peratus jumlah pampasan itu sebagai tidak adil apatah lagi Noorfadillah ditamatkan perkhidmatannya hanya kerana beliau sedang mengandung ketika bertugas.

“Tindakan berat sebelah terhadap wanita hamil ini dalam industri pekerjaan adalah sangat tidak digalakkan dan perlu dibendung di semua peringkat.

“Selama tujuh tahun kes berlarutan dan (Noorfadillah) telah pun memenangi kes pada 13 Julai 2011, seterusnya kerajaan membuat rayuan, dan kalah dalam rayuan,” katanya.

Setelah dua tahun (10 November 2014), tambahnya Noorfadillah yang menfailkan tuntutan ganti rugi dianugerahkan RM300,000 oleh mahkamah, namun kes tersebut ditangguhkan selepas kerajaan membuat rayuan.

Namun mahkamah pada 16 Februari lalu memutuskan pampasan untuk bekas guru itu dikurangkan kepada RM30,000.

“Saya terpaku bagaimana mahkamah undang-undang ini memberikan keadilan,” soal Zuraida.

Menurut Ketua Wanita PKR itu, kes ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua majikan supaya tidak mengamalkan diskriminasi terhadap wanita hamil, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Pampasan yang dikurangkan ini, katanya adalah satu tamparan kepada mangsa dan tidak setimpal dengan ketidakadilan yang dialami.

“Hak asasi seperti kehamilan sepatutnya diraikan dan disokong oleh masyarakat terutamanya kerajaan, bukan sebaliknya dengan menindas mereka.

“Saya akan terus membawa isu ini ke dalam parlimen pada sesi yang akan datang untuk mencadangkan bagi meminda undang-undang buruh dengan meletakkan larangan untuk bakal majikan meminta maklumat status kehamilan wanita, termasuk ujian air kencing dan pemeriksaan kesihatan,” ujar Zuraida.

Beliau menyifatkan keputusan mahkamah akan memberi kesan buruk kepada usaha menjuarai kesaksamaan gender dan hak asasi manusia.

“Saya tidak akan berdiam diri,” tegasnya lagi.
 
Noorfadilla, bekas guru gantian ditamatkan perkhidmatan kerana mengandung.

Beliau pernah hadir di Parlimen untuk menggesa ahli parlimen meminda Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan tiada diskriminasi jantina di sektor swasta dan awam.

TAGS