Malaysia Dateline

Keputusan Muhyiddin pendek akal, pentingkan diri sendiri

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa untuk menimbang semula keputusan mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan perintah darurat seperti yang dilaporkan agensi-agensi berita ketika ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan, keputusan tersebut sebagai pendek akal dan mementingkan diri sendiri.

Melalui langkah itu kata Anwar, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menonjolkan kelemahan mereka dalam menangani wabak Covid-19 dan kemelut ekonomi yang melanda negara.

“Negara-negara di rantau ini sedang memikirkan pelbagai cara bagi menangani Covid-19 dan benarkan aktiviti ekonomi untuk bergerak, namun Malaysia sedang bergerak kebelakang.

“Kita masih belum mengetahui apa strategi kerajaan dalam mengemudi krisis ini.

“Tetapi apa yang terpamer adalah kerajaan merasakan strategi ampuh untuk melawan dampak wabak adalah dengan melemahkan demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketika ini desas desus mendakwa kerajaan akan melaksanakan perintah darurat berikutan wabak Covid-19 semakin meningkat akhir-akhir ini.

Perkara itu dikuatkan lagi apabila Muhyiddin dilaporkan telah bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong petang tadi.

Dakwaan mengatakan, langkah tersebut diambil kerana Muhyiddin bimbang pembentangan belanjawan 2021 pada November ini, berpotensi untuk tidak mendapat sokongan majoriti sekaligus menunjukkan kedudukan sebenar kerajaan Muhyiddin.

Sekiranya usul bajet ditolak, Muhyiddin perlu akur dan wajib menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen agar pilihanraya dapat diadakan.

Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, perisytiharan darurat kebiasaannya hanya akan dilakukan apabila terdapat unsur ancaman pada keselamatan negara.

Namun apabila kerajaan itu sendiri yang menjadi punca pada ancaman keselamatan, maka langkah darurat ternyata satu langkah kebelakang yang akan memungkin kediktatoran.

Justeru beliau menasihatkan agar sebaiknya Muhyiddin berdepan dengan wabak Covid-19 secara telus, bertanggungjawab dan mengikut dasar negara yang jelas.

“Kerajaan telah gagal menonjolkan kepimpinan yang berkualiti saat wabak, malah telah mengambil langkah yang mencurangi demokrasi untuk terus berkuasa,” katanya lagi.