Keputusan Pas putus dengan PKR sudah diduga, kata Anwar

Keputusan Pas putus dengan PKR sudah diduga, kata Anwar

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputuan Pas memutuskan kerjasama politik dengan parti itu sudah lama diduga ekoran kecenderungan Pas kepada Umno-BN dalam kebanyakan isu sejak beberapa tahun lalu.

“Keputusan tersebut dapat diduga melihatkan pendirian parti tersebut beberapa tahun kebelakangan yang lebih lunak dengan Umno; tidak membangkang belanjawan yang memperkenal GST, menaikkan harga minyak dan gula dan tidak menyertai perhimpunan Bersih 5,” katanya dalam teks ucapan amanat Ketua Umum PKR yang dibacakan oleh anaknya Nurul Izzah.

Beliau berkata demikian pada Kongres Nasional Tahunan PKR ke-12 di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam hari ini.

Majlis Syura Ulamak Pas pada 11 Mei lalu mengesahkan pembatalan kerjasama politik dengan PKR.

Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang mengumumkan perkara itu berkata, begitu banyak pelanggaran terhadap syarat-syarat tahaluf siyasi yang menyebabkan hubungan politik antara Pas dan PKR terbatal.

Antara perlanggaran tersebut, ujar beliau adalah kegagalan PKR untuk menyokong malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa Pas seperti usul RUU 355.

PKR juga, jelas Zawawi telah melanggar adab-adab kerjasama dalam politik seperti menyerang pimpinan Pas dan membuat tuduhan-tuduhan palsu yang merosakkan imej Pas.

Malah parti itu dianggap mengkhianati hubungan politik dengan Pas apabila bekerjasama dengan pihak-pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan negeri Kelantan dan menentang Pas dalam pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Anwar berkata pihaknya kecewa kerana Pas mengeluarkan kenyataan demi kenyataan yang menyelar pendirian PKR, malah mengelirukan berkaitan RUU 355.

“Kita merasa kecewa kerana kenyataan yang menyelar pendirian PKR, malah mengelirukan berkaitan RUU 355.

“Sandiwara menarik berulang, Pas menyerang PKR kerana kononnya menentang RUU 355, dan media Umno-BN mengecam presiden kerana kenyataannya menyokong hudud.

“Presiden telah menjelaskan, dan saya ingin menegaskan dalam perkara RUU 355, PKR menghormati hak Pas membentang, tetapi harus dibahaskan dan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Parlimen,” kata Anwar.

Tambah beliau, yang memutuskan untuk tidak membentang semula rang undang-undang itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang bermakna RUU tersebut terkubur dengan sendirinya.

“Kita musykil mengapa tidak ada sanggahan terhadap Umno? Mengenai hudud, yang tertera dalam al-Quran harus diakui oleh semua Muslim.

“Kenyataan presiden yang panjang lebar menjelaskan pandangan ulama mengenai keutamaan dan pengalaman kemerdekaan Indonesia yang ingin memelihara keamanan dan kesatuan republik,” kata beliau.

Justeru, beliau berkata, PKR kini tidak lagi perlu berhempas pulas mengenai RUU355 sebaliknya menyeru semua ahli dan pimpinan parti itu menerima keputusan Pas.

“Maka, PKR tidak perlu terus berhempas pulas dengan isu tersebut. Tumpuan sekarang adalah menerima kenyataan terkini dan terus mengangkat keupayaan jamaah,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)