Keputusan pilihan raya umum bukan di tangan tiga bekas MB Selangor

Keputusan pilihan raya umum bukan di tangan tiga bekas MB Selangor

Usaha Umno-Barisan Nasional (BN) menggabungkan tiga  bekas menteri besar bagi merampas Selangor daripada Pakatan Harapan (PH) bukan faktor penentu terhadap kejayaannya, kata Ketua Sekretariat PH Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, penentu kepada kejayaan sesebuah parti ditentukan rakyat sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) itu kelak.

“Kita bukan memperkecilkan mana-mana pihak kerana mantan menteri besar ini ada jasa mereka tetapi kita harus sedar dan melihat politik juga pilihan raya bukan ditentukan orang tertentu.

“Yang akan menentukan kedudukan Kerajaan Selangor itu bukan tiga orang (mantan menteri besar) tetapi seluruh pengundi dan rakyat Selangor,” katanya dalam satu kenyataan dipetik Selangorkini.

Saifuddin berkata demikian sebagai reaksi terhadap strategi Umno-BN diketuai Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar, yang mahu menggandingkan tiga mantan Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Mmohd Taib; Tan Sri Abu Hassan Omar dan Dr Mohd Khir Toyo dalam usaha merampas Selangor.

Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha seperti itu tidak menghasilkan keputusan diinginkan seperti berlaku dalam PRU-12 dan PRU-13.

Saifuddin berkata, pembabitan seorang lagi mantan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, jika berjaya juga tidak menjanjikan kejayaan buat Umno-BN.

“Rakyat selaku pengundi kini bijak membuat keputusan dan tidak terpengaruh dengan strategi dirancang Umno-BN kerana ia strategi lama, kalau pada 2008 dan 2013 tidak lagi berhasil.

“Maka, apa keputusan diinginkan mungkin tidak akan terhasil,” katanya.

7.0
OVERALL SCORE
Loc: 7.0