Keputusan PRK buktikan Amanah mampu sertai arena politik negara, kata Khalid Samad

Keputusan PRK buktikan Amanah mampu sertai arena politik negara, kata Khalid Samad

Pengarah komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad berkata keputusan PRK serentak semalam menunjukkan parti itu telah berjaya membuktikan ia mampu mendapat sokongan yang membanggakan selain memberi saingan sengit kepada lawan dalam pilihanraya kecil ini walaupun baru ditubuhkan.

“Hasil kerjasama PKR dan DAP, kita telah dapat keputusan yang membanggakan bagi sebuah parti yang hanya berusia sembilan bulan.

“Kita telah berjaya mengasaskan keberadaan Amanah dan Pakatan Harapan dalam arena politik negara. Tak ada orang yang boleh kata kita ini parti nyamuk atau kita ni parti yang tak ada sokongan dan kekuatan,” katanya.

Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh pengundi dan semua yang terlibat menjayakan kempen Amanah dalam PRK ini.

Menurut beliau, politik ugut dan serangan perkauman berterusan antara punca yang menyebabkan pola pengundian masyarakat Melayu tidak banyak berganjak berbanding pilihanraya lepas dan menyebelahi Barisan Nasional (BN).

Tambahan pula, dalam pilihanraya kecil kali ini, Barisan Nasional (BN) menggunakan seluruh jentera kempen yang ada bagi menabur pelbagai janji dengan niat melencongkan rakyat dari isu sebenar yang melanda negara.

Menurut Khalid, mainan perkauman dengan menuduh bahawa parti itu khadam DAP bukan sahaja dilemparkan terhadap Amanah oleh BN malah ia turut dilakukan oleh PAS.

“Kita diserang begitu teruk dan itu antara sebab undi Melayu tak seperti yang kita harapkan.

“Dulu, PKR diserang oleh Umno, tapi ia dibantu oleh PAS. Parti Semangat 46 juga diserang oleh Umno, ia juga dibantu oleh PAS. Tapi, Amanah sekarang satu-satunya parti diserang oleh kedua-dua UMNO dan PAS,” katanya di Ibu Pejabat Amanah Sungai Besar selepas keputusan pilihanraya diketahui malam tadi.

Khalid dalam masa yang sama mengakui bahawa kempen oleh Tun Dr. Mahathir dalam PRK ini telah gagal diterjemahkan sebagai protes terhadap kepimpinan Perdana Menteri merangkap Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

“Kempen oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad masih belum mampu mendatangkan keberanian orang Melayu untuk melakukan perubahan walaupun ada yang tidak puas hati. Kita pun tak tahu apa sebabnya.

“Keberanian Melayu untuk bawa perubahan tak dapat diwujudkan,” ujar beliau.

COMMENTS

Wordpress (0)