Malaysia Dateline

Keputusan PRK Kimanis: Bukan lagi masa menuding jari

Kekalahan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) yang mewakili PH di Parlimen Kimanis tidak harus dipandang ringan.

PH khususnya yang terbukti tidak berjaya mengalahkan BN bagi kerusi tersebut harus muhasabah diri dan melihat kembali beberapa isu yang diyakini berjaya memberi tamparan kepada parti pemerintah.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Penggerak Muafakat Nasional Tasek Gelugor, Alan Oh.

Jelas beliau, isu Pas Sementara Sabah (PSS) telah berjaya dipolitikkan oleh BN sehinggakan memberi kredit kepada mereka untuk meraih sokongan sekali lagi dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

“Tidak dapat dinafikan isu seperti pembatalan jambatan dan lebuhraya yang dijanjikan kerajaan BN terdahulu berjaya mempengaruhi pengundi sehingga menjadikan PH sebagai mangsa sekali lagi.

“Rakyat mahu isu ‘bread and butter’ diselesaikan dengan segera.

“Kerajaan PH tidak harus lembap dan perlahan dalam menyalurkan bantuan dan merealisasikan segala janji dalam manifesto pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang lalu kerana ia menjadi senjata utama pembangkang untuk meraih dokongan,” tegas beliau.

Kata Alan lagi, kini bukan lagi masa untuk menuding jari sama ada kepada BN maupun komponen dalam PH, sebaliknya melihat kecacatan dan kekurangan yang ada pada parti pemerintah tatkala ini.

Beliau yang juga merupakan Ketua Cabang PKR Bagan turut berkata, kini sudah sampai masanya untuk PH memaksimumkan usaha merealisasikan segala janji-janji dalam manifesto PRU yang lalu tanpa apa jua alasan.

“Program-program untuk menambat hati rakyat mesti segera dilaksanakan dan bukan hanya setakat menukar jenama yang telah diberikan oleh BN sebelum ini.

“Keresahan rakyat dalam pelbagai aspek mesti diberi perhatian tanpa lengah termasuklah isu peluang pekerjaan, perumahan, kos sara hidup dan seumpamanya.

“Kegagalan untuk menangani masalah ini akan mengulangi sejarah kekalahan demi kekalahan dalam PRK yang tidak dapat dinafikan akan turut memberi kesan kepada dokongan dalam PRU yang akan datang,” tambah beliau.

Dalam PRK Parlimen Kimanis semalam, BN berjaya mencapai kemenangan lebih besar dengan majoriti sebanyak 2029 undi jika dibandingkan dengan majoriti sebanyak 156 undi dalam PRU ke-14 yang lalu.