Keputusan PRK Kuala Kangsar semarakkan perpaduan Pakatan Harapan

Keputusan PRK Kuala Kangsar semarakkan perpaduan Pakatan Harapan

Pakatan Harapan berjaya membuktikan wujudnya kerjasama yang padu dalam Pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, kata calon Parti Amanah Negara (Amanah) Dr Ahmad Termizi Ramli.

Meskipun hanya memperoleh tempat ketiga dalam pertandingan tersebut, beliau tidak kecewa malah sangat berbangga dengan kerjasama padu daripada Amanah, PKR dan DAP.

“Ini satu yang sangat kita banggakan, sangat berharga iaitu satu kerjasama yang padu yang tidak mungkin dapat dibina secara realiti kalaau tidak ada PRK ini.

“Mungkin secara konsep (kerjasama) boleh ada tapi ini terbukti dan pembuktian ini sangat hendak dilihat oleh rakyat agar kita dapat menjadi kerajaan dan parti yang dipercayai untuk menjadi kerajaan dalam pilihan raya umum ke-14,” kata beliau dalam sidang media di pejabat Amanah Kuala Kangsar malam tadi.
Suruhanjaya pilihan raya (SPR) mengumumkan calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid sebagai pemenang bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar.

Mastura meraih 12,653 undi manakala calon Pas, Dr Najihatussalehah Ahmad (5,684 undi), calon Amanah, Ahmad Termizi Ramli (4,883 undi) manakala calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary (54 undi).

Menurut Ahmad Termizi beliau akan terus menetap di Kuala Kangsar walaupun kalah dalam pilihan raya ini kerana ini memberi fokus kepada PRU14.

“Saya akan terus berada di sini kerana fokus kita untuk 2018 iaitu PRU14.

“Keputusan ini menunjukkan realiti bahawa betapa kerasnya kerja yang kita perlu lakukan untuk menyelamatkan negara.

“Di Manong misalnya kita masih baru dan belum ada cawangan pun. Jadi saya akan fokus kepada kawasan ini untuk meramaikan ahlli dan membina cawangan,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)