Malaysia Dateline

Keputusan PRK Tanjung Piai isyarat rakyat kepada PH

Keputusan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 15,086 tidak harus dipandang ringan oleh semua pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Malah seluruh pimpinan PH dan kerajaan harus muhasabah dengan keputusan PRK kali ini.

Demikian disarankan oleh Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Negeri Kedah, Mohd Khairizal Khazali.

Jelasnya, kuasa rakyat adalah lebih besar dan mengatasi kuasa mana-mana kerajaan dalam politik.

“Rakyat memperlihatkan dokongan mereka dengan memberi kepercayaan kepada PH untuk menerajui kepimpinan negara melalui pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang lalu.

“Terbukti bahawa gelombang rakyat juga yang telah mengubah dan menolak BN sehingga membolehkan PH mengambil alih pemerintahan negara.

“Secara ketara ia menunjukkan bahawa apa yang rakyat mahu ialah menunaikan janji-janji manifesto yang telah dicanang-canangkan dalam PRU yang lalu, ” tegasnya.

Tambah Khairizal lagi, sebenarnya rakyat sedang menilai kerajaan sedia ada mentadbir negara dengan menjaga sensitiviti rakyat.

“Penguatkuasaan undang-undang juga harus mengambilkira hak rakyat samada ianya wajar diterima ataupun sebaliknya.

“Tidak dapat dinafikan dalam tempoh peralihan kuasa selama setahun setengah belum lagi menampakkan reformasi drastik.

“Manakala rakyat pula tidak lagi mampu untuk menanti dalam tempoh yang lebih lama untuk menikmati perubahan yang telah diwar-warkan sebelum ini, ” ujarnya yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa AMANAH Negeri Kedah.

Katanya lagi, media turut memainkan peranan penting apakala ia boleh mempengaruhi sokongan yang akan diterima oleh PH serta juga pembangkang, lebih-lebih lagi dengan kebebasan media sosial yang menjadi modal utama oposisi.

Sehubungan itu ujar Khairizal, pimpinan PH perlu mengambil kira pandangan, kritikan dan juga keluhan rakyat sebelum mengimplementasikan sebarang polisi, akta serta undang-undang yang membabitkan kepentingan rakyat khususnya golongan bawahan.

Justeru, beliau menggesa pimpinan PH agar lebih peka dan sensitif terhadap setiap tindakan yang diambil supaya ia tidak memberi kredit yang melampau kepada pembangkang menjelang PRU ke-15 akan datang.