Malaysia Dateline

Keputusan PRK Tg Piai teguran keempat dari rakyat

Pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai merupakan PRK yang keempat Pakatan Harapan (PH) kecundang.

Lebih mengecewakan ia merupakan kekalahan keempat berturut-turut dan kekalahan kali ini dengan majoriti yang lebih besar melebihi 15,000 undi.

Demikian dinyatakan oleh Ketua AMANAH kawasan Permatang Pauh, Dr Zaidi Zakaria.

Jelasnya, ini membawa erti Barisan Nasional (BN) semakin kuat dan berbisa selepas tersungkur teruk dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang lalu.

“Apakah ini merupakan undi protes setelah empat kali berturut-turut PH menemui kekalahan.

“Sekiranya ia benar-benar undi protes, adalah wajib bagi PH mengenal pasti secara komprehensif dan menyeluruh apa mesej sebenar yang ingin disampaikan oleh rakyat.

“Faktor kebajikan rakyat, dalam ertikata meringankan kos sara hidup yang tinggi, menurunkan harga barang, harga tol maupun memansuhkannya serta banyak lagi termasuk aspek pendidikan dan kesihatan yang terkandung dalam manifesto PRU ke 14 mesti direalisasikan

dengan segera, ” tegasnya.

Tegas beliau, bagi pimpinan dan pendokong PH, mereka amat sedar bertapa kerosakan yang berakar umbi dilakukan semasa pentadbiran BN sekian lama.

Ujarnya, kerosakan tersebut bukan sesuatu yang mudah untuk diperbaiki dalam masa dan tempoh pemerintahan yang singkat.

Walau bagaimana pun ujarnya. rakyat semakin sedar dan tidak mahu PH terus beralasan sedemikian.

“Rakyat tidak lagi mahu pemimpin-pemimpin PH acapkali beralasan ‘manifesto bukan kitab suci’.

“Kekalahan keempat ini adalah teguran rakyat kepada PH yang tidak harus dipandang enteng.

“Utamakan rakyat dan pedulikan rakyat, ” katanya.

Menurut Dr Zaidi lagi, rakyat tidak lagi berminat bahkan semakin muak dengan perbalahan dan politiking dalaman parti-parti komponen PH sehinggakan kebajikan mereka dikesampingkan.

Tambah beliau, reformasi yang dilaung-laungkan sewajarnya sudah memasuki fasa pelaksanaan yang berkesan kepada rakyat, kerana apa jua polisi serta implementasinya akan menjadi perkiraan dan penilaian mereka.