Malaysia Dateline

Keputusan PRU14 adalah mandat rakyat untuk Anwar dilantik PM ke-8, kata Dr Afif

Kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed bahawa hanya rakyat yang berhak menentukan siapa yang layak memimpin negara selepas beliau melepaskan tampuk pemerintahan negara, maka suka diingatkan bahawa pada 9 Mei rakyat telah  memberi mandat melalui peti undi kepada Pakatan Harapan (PH).

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin dalam satu kenyataan beliau semalam.

Jelas beliau lagi, mandat yang diberikan bukan hanya untuk menjadi sebuah kerajaan yang bakal melaksanakan reformasi sistem, tetapi pada masa yang sama bersetuju dengan konsensus PH untuk Tun Mahathir dipilih sebagai Perdana Menteri ke 7 dan Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Malah katanya lagi, konsensus juga adalah untuk memastikan kesinambungan kepimpinan Perdana Menteri diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke 8.

“AMK berpandangan kenyataan Perdana Menteri yang terbaru ini haruslah bersandarkan kepada janji yang telah dibuat melalui konsensus PH sebelum ini.

“Mandat rakyat ini bukan hanya telah disepakati pada 9 Mei yang lalu, sebaliknya telah diperkukuhkan lagi dengan mandat yang telah diberikan oleh pengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson baru-baru ini.

“Oleh kerana itu tidak timbul persoalan samada rakyat menerima atau tidak pencalonan Anwar sebagai Perdana Menteri ke 8 kerana rakyat telah bersuara melalui peti undi pada 9 Mei dan juga PRK Parlimen Port Dickson, ” ujarnya lagi.

Afif yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut berkata, AMK merasakan gandingan Tun Mahathir dan Anwar pada ketika ini adalah yang terbaik untuk membangunkan semula sebuah Malaysia Baharu dan melaksanakan reformasi yang telah diperjuangkan selama ini.

Sehubungan itu tegas Afif lagi, AMK berpandangan suatu proses peralihan kepimpinan yang jelas, stabil dan teratur adalah penting demi menjamin kelangsungan pentadbiran kerajaan PH yang berhadapan dengan tugas besar bagi melaksanakan reformasi dalam negara.