Malaysia Dateline

Keputusan Radzi Jidin ‘flip-flop’ susahkan rakyat, bidas Pemuda Umno

Pemuda Umno mempersoalkan sama ada benar atau tidak Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Jidin membuat keputusan berhubung pembukaan sekolah pada Mac ini langsung tidak dibincangan dalam kabinet.

Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan menteri berkenaan membuatkan ramai menteri terkejut apabila Radzi membuat pengumuman pembukaan sekolah semalam.

“Dengar kata perkara polisi sebesar ini tidakpun dibincangkan di dalam kabinet hingga ramai Menteri sendiri terkejut dengan pengumuman semalam, betulkah?” soal Asyraf.

Beliau kecewa apabila Menteri Kanan Pendidikan itu membuat keputusan polisi secara ‘flip-flop’ dan dilihat tergesa-gesa hingga menyusahkan rakyat.

“Harap Menteri Kanan Pendidikan selepas ini dapat rancang sesuatu polisi dengan rapi dan teliti sebelum buat apa-apa keputusan.

“Umumnya bukan rakyat tidak setuju sekolah dibuka. Ya, banyak boleh selesaikan isu dan kekangan yang dihadapi majoriti rakyat yang tiada akses kepada internet yang sempurna, kekangan soal gajet, tablet atau alat peranti jika PdPR hendak diteruskan,” katanya.

Bahkan katanya, rakyat juga keliru dan menerima mesej yang salah apabila dibuat pelancaran DidikTV untuk memperkasa PdPR dalam masa yang sama diambil alih saluran NTV7 sebagai TV pendidikan.

Ekoran itu, katanya rakyat bertanggapan PdPR akan berjalan lebih lama lagi, menyebabkan ramai yang bergolak-gadai dengan segala cara termasuk berhutang dengan AhLong untuk membeli gadget buat pendidikan anak-anak.

“Ingatlah! Bukan semua rakyat yang senang ketika ini dengan ramai yang dibuang kerja, hilang punca pendapatan, malah tiada sumber pendapatan tambahan dalam suasana pandemik ketika ini.

“Yang peliknya kenapa tergesa-gesa hendak dibuka sekolah rendah 1 Mac sedangkan PKP pun hanya berakhir pada 4 Mac? “soal beliau.

Semalam Radzi Jidin mengumumkan pembukaan sekolah bermula 1 Mac ini telah mengundang kritikan berikutan ramai ibu bapa telah mengeluarkan perbelanjaan besar bagi membeli segala kelengkapan dan peranti bagi PdPR anak-anak mereka.

Selepas bergolak gadai membeli peranti, ibu bapa sekali lagi akan mengeluarkan perbelanjaan bagi menyediakan uniform sekolah anak-anak mereka termasuk juga pembayaran yuran sekolah.