Keputusan rayuan akhir Najib, Rabu depan

Keputusan rayuan akhir Najib, Rabu depan

Mahkamah Persekutuan akan menyampaikan keputusan terhadap empat rayuan akhir bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk satu oleh pihak pendakwaan berhubung kes SRC International Sdn Bhd, Rabu depan.

Panel tujuh hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum menetapkan tarikh tersebut hari ini selepas selesai mendengar hujah pihak pendakwa dan pembelaan sejak semalam.

Najib, 66, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan menolak rayuan beliau bagi mendapatkan dokuman tambahan serta perintah tegar siar bagi menghalang media dan orang awam membincangkan dan menerbitkan kenyataan mengenai merit kes SRC International.

Selain itu, langkah Peguam Negara menarik balik sijil untuk memindahkan tujuh pertuduhan terhadap Najib daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi manakala pendakwa merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan meminta Pejabat Peguam Negara menunjukkan surat lantikan pendakwa sementara, Sulaiman Abdullah.

Terdahulu, peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, memaklumkan kepada mahkamah bahawa kes anak guamnya akan selesai lebih cepat jika pendakwaan membekalkan dokumen-dokumen yang diminta oleh mereka.

Memetik kes tuduhan rasuah dan penipuan oleh bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam, Muhammad Shafee, yang mewakili bekas menteri itu, berkata pihak pemdakwaan dan pembelaan telah bertukar-tukar dokumen berhubung kes tersebut.

“Perbicaraan kes tersebut dijadualkan selama empat bulan tetapi kita menyelesaikan perbicaraan di Mahkamah Tinggi dalam tempoh tiga minggu,” katanya.

Sementara itu, peguam bersama, Harvinderjit Singh berkata, dokumen seperti kenyataan saksi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan kenyataan saksi dirakam oleh pegawai penyiasat mengikut kes di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 perlu diberikan kepada pihaknya.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya (Ad-Hoc), Datuk V. Siithambaram berkata, pihak pendakwaan tidak bercadang menggunakan dokumen-dokumen yang dimohon oleh pembelaan sebagai sebahagian daripada kes pendakwaan.

“Pemberian perintah yang dituntut oleh pihak pembelaan secara jelas bermakna kesemua kertas penyiasatan (IP) perlu diberikan kepada mereka. Kesimpulannya ialah pada masa depan seluruh IP perlu diserahkan kepada pembelaan bagi semua kes SPRM dan AMLATFA,” katanya.

Beliau juga turut berkata pihak pembelaan mahu pendakwa mengemukakan semu pernyataan saksi dan dokumen di mana ia boleh dilakukan semasa perbicaraan.

Katanya, pihak pendakwaan setakat ini telah menyerahkan 32 jilid dokumen (kira-kira 7,000 halaman) kepada pihak pembelaan.

Perbicaraan kes Najib berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta telah bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Rabu lalu dan akan disambung 15 April ini.