Malaysia Dateline

Keputusan rayuan Najib bukti perjuangan PH bongkar salah laku pemimpin rompak duit rakyat

Keputusan rayuan Datuk Seri Najib Razak hari ini membuktikan perjuangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu dalam membongkar salah laku Najib Razak yang merompak wang rakyat Malaysia.

Biro Kanun Undang-undang AMANAH berpandangan, institusi kehakiman telah berjaya berpegang kepada prinsip undang-undang biarpun diserang di kiri dan kanan oleh pengikut bekas perdana menteri itu.

Isu pentadbiran yang baik (good governance) dan integriti adalah isu penting yang menyelubungi rakyat Malaysia semenjak 60 tahun pemerintahan Umno-BN.

Justeru bagi Pengerusi Kanun, Dr. Zulqarnain Lukman, walaupun pemerintahan PH singkat, namun hasilnya telah sedikit demi sedikit dikecapi sebelum PH digulingkan dalam peristiwa khianat dan ‘tebuk atap’ Langkah Sheraton oleh Umno-Bersatu-Pas yang mabuk kuasa.

“Kanun percaya bahawa sekiranya tidak berlaku peristiwa terkutuk Langkah Sheraton ini maka Malaysia akan berjaya dibina kembali ke landasan pemerintahan yang baik.

“Kanun berharap rakyat Malaysia akan sedar bahawa naratif populis Melayu-Islam yang dibawa oleh Umno-Bersatu-Pas ini tidak berjaya membawa Malaysia ke arah yang lebih gemilang selagi mana masalah struktur asas negara tidak dipandu dengan semangat keperlembagaan yang mendukung idea Rukun Negara,” ulasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Kanun menyeru rakyat Malaysia untuk membina semula negara ini dengan mengundi PH dalam pilihan raya ke 15 akan datang dan menolak BN atau pun PN supaya dapat menyelamatkan semula Malaysia daripada mereka yang rakus kuasa.

Najib menjalani hukuman penjara 12 tahun mulai hari ini selepas keputusan sebulat suara panel lima hakim yang mengekalkan hukuman bersalah terhadap salah laku rasuah melibatkan SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta.

Panel lima hakim dipengerusikan Tengku Maimun menolak rayuan bekas perdana menteri itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Baca juga Najib ke penjara: ‘Tiga ibu warganegara kembalikan semangat anak Malaysia merdekakan negara dari petualang’