Keputusan satu logo sebelum Parlimen bubar

Keputusan satu logo sebelum Parlimen bubar

Setiausaha Organisasi AMANAH, Suhaizan Kayat (gambar atas) memberitahu keputusan penggunaan logo bagi calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan diumum sebelum Parlimen dibubarkan.

Menurutnya, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menekankan supaya gabungan parti itu memilih salah satu daripada logo yang akan digunakan calon bagi mewakili PH.

“Ini pandangan awal. Bagi kawasan DAP, gunakan logo DAP. Bagi (kawasan) PKR, AMANAH dengan Bersatu, kita gunakan satu logo.

“Jadi, kalau AMANAH (bertanding), boleh guna logo AMANAH, PKR atau Bersatu. Kita lihat perkembangannya nanti akan pakai salah satu daripada tiga (logo).

“Itu muafakatnya. Idea ini ditekankan Tun Mahathir. Sebelum bubar (Parlimen) ada (keputusan) satu logo. Ini komitmen daripada kita.

“Dalam masa terdekat, (pemilihan) logo akan selesai. Kita di Parit Sulong akan pakai satu logo saja untuk lawan BN dan ‘parti lama’ (Pas) Anis itu,” ujarnya di Sri Medan hari ini.

Naib Pengerusi AMANAH Johor berkenaan berkata demikian ketika menjawab soalan pendengar dalam program Sembang Santai bersama Penyelaras P147, Anis Afida yang disiar secara langsung di Facebook AMANAH Negeri Johor.

Suhaizan berkata, sikap Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung permintaan untuk PH didaftar sebagai gabungan parti pembangkang yang sah dibimbangi akan berbuat apa sahaja kepada Bersatu.

“Dia (RoS) boleh buat apa sahaja, sangat mudah untuk dia mencari kesalahan. Ini kita khuatir dilakukan kepada Bersatu

“Semasa kami tubuhkan AMANAH, (pegawai RoS) orang lelaki. Dulu, mudah kami berurusan dengan pegawai itu.

“Bila tukar mesti ada agenda tertentu. Saya difahamkan dia (RoS) minta minit mesyuarat bahagian dan cawangan. Mana ada. Dah semuanya masih penaja. Tiada, kenapa minta?

“Tiada mesyuarat rasmi. Yang ada mesyuarat di peringkat penaja belaka ke arah tujuan mendaftarkan (Bersatu). Mesyuarat penaja tidak diiktiraf oleh RoS,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, beliau menyifatkan isu penggunaan logo bagi calon bertanding bukan satu perkara sukar untuk dimuktamadkan dalam masa terdekat kerana PH terbukti mampu menyelesaikan pemilihan calon perdana menteri.

“Pemilihan satu logo sebenarnya kemajuan dalam PH. Dulu sangat sukar nak tentukan.

“Sebelum ini (termasuk era Pakatan Rakyat) mana boleh letak (calon perdana menteri). Kalau perkara besar boleh selesai, logo akan selesai,” ujar Penyelaras Dun Kukup itu.

Sehubungan itu, Suhaizan menyeru masyarakat di Parit Sulong yang merangkumi N17 Semerah dan N18 Sri Medan supaya mengundi PH pada PRU-14.

“Kalau sokong Najib bererti menyokong jenayah. Johor boleh bertukar, InsyaAllah.

“Cukup-cukuplah dengan BN. Mari kita bersama dengan masyarakat di luar untuk tidak ketinggalan buat perubahan,” serunya lagi.

Parit Sulong salah satu daripada 20 kawasan Parlimen yang disandang BN manakala DAP memiliki empat kerusi manakala PKR dan Bersatu masing-masing mempunyai satu kerusi.

Agihan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor pula menyaksikan BN menguasai 37 kerusi diikuti DAP (13), Pas (3) manakala PKR, AMANAH dan Bersatu masing-masing satu kerusi.

Bagi PRU-14, Parit Sulong akan diwakili calon PH dari AMANAH.

9.0
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 8.5
CATEGORIES
TAGS