Malaysia Dateline

Keputusan sering bercanggah, PH saran kerajaan tubuh ‘bilik perang’

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan menyarankan agar kerajaan segera menubuhkan ‘bilik perang’ untuk menyelaraskan isu berbangkit selain merungkai percanggahan dan pertindihan bidang kuasa.

Ini kerana katanya, Majlis Setiausaha mendapati beberapa pengumuman dan tindakan kerajaan baru-baru ini seakan tidak diselaraskan di antara anggota Jemaah Menteri.

Menurut PH lagi, semua jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menangani permasalahan yang timbul akibat ancaman Covid-19, perlu dipantau perjalanannya oleh Perdana Menteri melalui bilik perang yang ditubuhkan.

“Sebagai contoh, isu pengumuman harga penutup muka, isu keterlibatan ngo dalam menyalurkan bantuan di lapangan, isu sanitasi dan operasi nyahkuman di kawasan awam, apatah lagi isu penambahbaikan pakej rangsangan bagi PKS ini.

“Selain daripada masalah bidang kuasa, masalah utama yang lain ialah di manakah letaknya fokus dan keutamaan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin? Apakah ekonomi atau kesihatan?

“Majlis Setiausaha PH mengulangi penegasan bahawa kedua-dua aspek ini adalah penting dan perlu ditekuni dengan mendalam di mana menuntut kepada perancangan yang rapi dan penyelesaian yang tuntas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama antara Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin; Setiausaha Agung AMANAH, Datuk Dr Hatta Ramli; DAP, Liew Chin Tong.

PH berkata, mewujudkan satu lagi jawatankuasa hanya akan menambahkan kerenah birokrasi dan tidak akan bermakna apa-apa sekiranya tiada keazaman politik untuk menyelesaikan permasalahan ini.

Oleh itu katanya, segala tindakan dan arahan perlu berpaksikan kefahaman yang jelas mengenai apa yang perlu dan ingin dilakukan supaya kesannya tidak lebih teruk dari apa yang perlu.

Malah, PH mengingatkan agar arahan yang dikeluarkan juga perlulah bersifat membumi dengan penuh kefahaman mengenai realiti yang wujud sekarang dan apa yang perlu dielakkan.

“Dengan adanya pemahaman yang jelas ini, yang diperturunkan melalui bilik perang kepada semua, maka akan terhasil keseragaman dan penyelarasan di dalam semua tindakan

“Ia akan dapat mengelak daripada berlakunya pembaziran masa dan sumber serta kesan yang lebih buruk terhadap ekonomi negara,” katanya.

Pada masa sama, PH hari juga sekali lagi menegaskan pendiriannya bahawa bantuan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) perlu ditambah sekurang-kurangnya dua kali ganda dari RM5.9 bilion ke hampir RM12 bilion.

Ini bermakna, seramai 3.3 Juta pekerja PKS perlu dibayar dengan kadar gaji minima sebanyak RM1,200 untuk jangkamasa tiga bulan.