Keputusan Speaker tolak usul bincang kemiskinan anak kota amat mengecewakan

Keputusan Speaker tolak usul bincang kemiskinan anak kota amat mengecewakan

Pemuda Pakatan Harapan (PH) amat kecewa dengan keputusan Speaker Dewan Rakyat untuk menolak usul membahaskan laporan UNICEF berkenaan kemiskinan anak kota atas alasan ia bukan “kepentingan awam”.

Kata ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad, laporan UNICEF itu amatlah penting dan sepatutnya membuka mata setiap ahli Parlimen serta pihak Kerajaan kerana ia membongkar keadaan sebenar kemiskinan bandar yang memberi kesan besar terutamanya kepada kanak-kanak.

“Dengan menolak usul tersebut, Dewan Rakyat bagaikan menganggap perkara itu remeh.

“Walaupun dengan alasan pelbagai agensi Kerajaan sedang mengkaji laporan tersebut, ia tetap tugas wakil rakyat untuk membincangkan perkara yang penting seperti itu, kerana ia melibatkan dasar negara dan kegagalan dasar itu membantu rakyat,” kata beliau dalam kenyataannya kelmarin.

Ujar beliau, kaji selidik itu menunjukkan kesan kemiskinan bandar dan kekurangan zat dalam kalangan kanak-kanak terutamanya di rumah kos rendah yang hidup dalam dalam keadaan serba kekurangan dari segi pemakanan, pendidikan, keselamatan dan keadaan hidup.

Laporan itu tambahnya, menyatakan 99.7% kanak-kanak di flat kos rendah di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Petaling Jaya sedang hidup di bawah paras kemiskinan.

“Ia juga mendapati 12% daripada kanak-kanak di rumah kos rendah makan kurang daripada tiga kali sehari, dan kekurangan zat makanan bagi kanak-kanak di flat kos rendah lebih tinggi berbanding purata kebangsaan sebanyak 22%.

“Malah di negeri termiskin, Kelantan, terdapat kanak-kanak yang dikatakan hidup dalam keadaan lebih teruk daripada negara miskin seperti Zimbabwe dan Switzerland,” kata Ketua Angkatan Muda PKR itu.

Kerajaan katanya, harus berdepan dengan masalah ini dan henti berselindung di sebalik retorik negara maju dan ekonomi baik.

“Setelah hampir 60 tahun memerintah, mengapa masih ada rakyat yang begitu tegar dalam kemiskinan, dan ramai kanak-kanak yang kekurangan zat?

“Ini jelas sebuah krisis negara yang patut mendapat perhatian penuh pihak Kerajaan dan Dewan Rakyat.

“Apa gunanya menjadi wakil rakyat jika tidak dapat membincangkan perihal rakyat dan mencari jalan penyelesaian?” katanya.

6.0
OVERALL SCORE
: 6.0
Have no any user vote