Malaysia Dateline

Keputusan SPM boleh disemak 14 Mac

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2018 akan diumumkan pada 14 Mac ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui satu kenyataan hari ini berkata calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan mereka selepas pukul 10 pagi pada hari yang sama.

Katanya calon persendirian akan dimaklumkan melalui pos  atau mereka boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka mendaftar untuk menduduki peperiksaan.

“Calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan SPM melalui mySMS15888 yang akan diaktifkan bermula 10 pagi 14 Mac sehingga 6 petang 20 Mac,”katanya.

Menurut KPM, tahun lalu seramai 421, 706 calon telah mendaftar untuk menduduki SPM di 3, 308 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, 362, 754 merupakan calon Sekolah Kerajaan, Bantuan Kerajaan, dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, 9,427 calon sekolah agensi kerajaan selain KPM, 8,160 calon Sekolah Menengah Agama Negeri, 2, 059 calon Sekolah Menengah Agama Rakyat, 14,001 calon Sekolah Swasta yang berdaftar dengan KPM dan 25,305 calon persendirian.

Tambah kenyataan itu lagi, bagi calon SPM 2018 yang ingin mengambil SPM ulangan 2019 atau SPM sebagai calon persendirian 2019, pendaftaran dibuka bermula 14 Mac 2019 hingga 31 Mac 2019.

Katanya pendaftaran juga boleh dibuat dalam talian dengan melayari laman web Lembaga Peperiksaan (LP) di alamat sppat.moe.gov.my.

Manakala keputusan boleh disemak melalui laman web LP di alamat: sppat.moe.gov.my/semakan