Malaysia Dateline

Keputusan SPM keluar 5 Mac depan

Keputusan sijil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 akan dikeluarkan pada 5 Mac depan.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya hari ini, memaklumkan semakan keputusan boleh dilakukan menerusi perkhidmatan mySMS dengan menaip SPMAngka Giliran dan menghantar SMS ke 15888.

“Perkhidmatan tersebut akan mula diaktifkan pada 10 pagi pada 5 Mac depan dan ditamatkan pada 6 petang 11 Mac.

“Calon juga boleh menyemak keputusan peperiksaan mereka menerusi portal Lembaga Peperiksaan Malaysia di sppat.moe.gov.my/semakan.

“Bagi calon persendirian pula, akan dimaklumkan menerusi pos atau boleh terus berhubung dengan Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka mendaftar untuk menduduki peperiksaan,” maklum kenyataan itu.

Seramai 416,416 calon telah mendaftar untuk menduduki SPM pada tahun 2019 di 3,313 pusat peperiksaan di seluruh Malaysia.

Daripada jumlah tersebut, 357,010 adalah calon Sekolah Kerajaan, Bantuan Kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan 8,320 adalah calon sekolah di bawah Agensi Kerajaan selain Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Selain itu, 8,317 adalah calon Sekolah Menengah Agama Negeri; 2,209 adalah Sekolah Menengah Agama Rakyat; manakala 14,203 adalah calon Sekolah Swasta yang berdaftar dengan KPM; dan 26,357 adalah calon Persendirian.