Keputusan taktikal Ahmad Bashah

Keputusan taktikal Ahmad Bashah

 

Barisan sembilan Exco Kedah yang masih dikekalkan oleh  Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah.

 

Keputusan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah untuk mengekalkan kesemua sembilan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang berada dalam pentadbiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum ini dianggap sebagai keputusan taktikal kerana ianya mempunyai beberapa strategi politik.

Dianggapkan jika strategi ini mampu dicapai maka besar kemungkinan kekuatan Umno Kedah akan kembali seperti asal apabila berjaya mengambil alih kerajaan selepas PRU13. 

Strategi paling utama mengapa Ahmad Bashah membuat keputusan sedemikian rupa adalah untuk tidak memburukkan lagi senario politik dalaman Umno Kedah yang dianggap agak goyah selepas pengunduran Mukhriz kerana mahu tidak mahu beliau juga mempunyai penyokong tersendiri dalam parti tersebut.

Strateginya adalah dengan adanya beberapa exco yang dinilai bersimpati dengan Mukhriz, maka harapannya adalah kesan tidak baik yang terbit dari peralihan kuasa MB dapat dikawal kepada tahap yang paling minimum.

Jika pergeseran diantara ahli Umno yang pro Ahmad Bashah dan pro Mukhriz dapat dibendung maka sudah pasti jentera parti Umno dapat berfungsi dengan baik demi untuk kemakmuran negeri Kedah.

Jika diandaikan Ahmad Bashah membuat keputusan untuk tidak melantik semula kesemua ahli exco yang dianggap sebagai pro Mukhriz, maka akibatnya adalah pergeseran dalaman Umno tidak akan berakhir dengan pertukaran MB.

Umno Kedah akan berpecah kepada dua kumpulan dan senario inilah yag mahu dielakkan oleh Ahmad Bashah.

Keputusan Ahmad Bashah juga mempamirkan beliau boleh bekerja dengan sesiapa sahaja walaupun dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang tidak menyokong beliau untuk menjawat jawatan MB. Persepsi sebegini adalah begitu kritikal terutama sekali bagi rakyat Kedah kerana anggapan awalnya adalah Ahmad Bashah yang mengetuai pemberontakkan terhadap Mukhriz membuat tindakan sedemikian kerana berebut jawatan MB.

Jika benar Ahmad Bashah sememangnya mengidamkan jawatan MB maka sudah pasti kesemua exco yang pro Mukhriz akan digugurkan.

Keputusan Ahmad Bashah juga dianggap sebagai manifestasi kemelut Umno Kedah hanya berpunca dari satu individu iaitu Mukhriz. Selepas beliau meletak jawatan maka barisan exco Mukhriz sepatutnya dikekalkan kerana kumpulan ini bukan punca masalah.

Memang benar juga sepatutnya ada beberapa muka baharu atau muda demi menggambarkan transformasi dalam pentadbiran kerajaan Kedah, tetapi strateginya adalah tidak ada cacat celanya barisan exco asal dan apabila punca utama masalah dapat dihindar (iaitu Mukhriz) maka kekuatan Umno sepatutnya kembali kepada asal.

Jika dinilai keputusan tersebut walaupun dianggap sebagai mempunyai nilai taktikal dengan kepelbagaian strategi, agak sudah pasti ianya dibuat mengikut kehendak Ahmad Bashah dan bukannya Putrajaya. Begitu penting persepsi sedemikian dikekalkan kerana terlalu banyak desas desus yang menjerumus adalah kehendak Putrajaya supaya Mukhriz digantikan.

Dari segi logiknya sudah pasti Putrajaya mahukan barisan exco yang baharu lebih-lebih lagi mahu mengelakkan pentadbiran kerajaan negeri disertai oleh exco pro Mukhriz. Begitu juga Putrajaya cuba membayangkan Umno sedang menjalani proses transformasi dan jika barisan baharu exco Kedah dilengkapi dengan Adun muda, maka sudah pasti proses transfromasi sedang berjalan.

Sebab itu diunjurkan keputusan Ahmad Bashah mempunyai nilai taktikal dan jika tercapai strategi yang disusun, maka sudah agak pasti Umno Kedah akan pulih dengan kekuatan setidak-tidaknya setanding atau lebih baik berbanding kedudukan Umno pra PRU13.

Adalah begitu penting bagi Ahmad Bashah dan barisan exconya bekerja untuk rakyat dan negeri Kedah kerana pada asasnya tidak begitu sukar untuk mengembalikan sokongan ahli Umno tetapi beliau mempunyai tugas berat untuk menambat kembali sokongan rakyat Kedah.

Ahmad Bashah juga perlu buktikan beliau sebagai MB adalah lebih efisyen dari Mukhriz yang dapat menjamin kemakmuran Kedah kerana hakikatnya adalah kesemua Adun, Exco dan pentadbiran kerajaan negeri adalah serupa seperti mana yang di milik Mukhriz sebelum ini.

TAGS