Malaysia Dateline

Keputusan ujian DNA hanya dokumen sokongan mohon taraf kewarganegaraan

Kerajaan hanya menjadikan keputusan ujian DNA sebagai dokumen sokongan untuk permohonan kewarganegaraan kanak-kanak yang tiada kerakyatan, dan bukannya sebagai bukti konklusif dalam penganugerahan kewarganegaraan Malaysia, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata pemberian taraf kewarganegaraan adalah tertakluk kepada peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Setiap pemohon masih perlu mematuhi undang-undang lain khususnya yang berkaitan dengan pendaftaran perkahwinan dan mempunyai status keberadaan yang sah di Persekutuan.

“Kaedah perekodan taraf kewarganegaraan individu yang dilahirkan di Malaysia oleh Jabatan Pendaftaran Negara adalah selaras dengan peruntukan di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, Citizenship Rules 1964 [LN82/1964] serta perundangan berkaitan yang berkuat kuasa dalam isu pendaftaran perkahwinan, kesah tarafan anak, peraturan imigresen dan lain-lain,” katanya.

Aziz berkata demikian bagi menjawab soalan Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju) yang ingin tahu adakah kementerian bercadang agar keputusan ujian DNA digunakan sebagai bukti mengenal pasti hubungan antara anak dengan bapa dalam permohonan kewarganegaraan.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) mengenai pendirian kementerian terhadap rakyat negara ini yang memiliki dua kewarganegaraan, Aziz menegaskan bahawa kerajaan tidak akan mengiktiraf mana-mana individu yang mempunyai lebih daripada satu kewarganegaraan.

“Kalau ada maklumat mengenai perkara ini, boleh buat laporan. Kalau kita tahu mana-mana individu memiliki dua kewarganegaraan, kita akan suruh pilih mana satu taraf kewarganegaraan yang ingin dilepaskan,” kata Aziz.– BERNAMA