Malaysia Dateline

Keputusan Umno kini menguji pendirian Pas

Kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Ahmad Maslan bahawa Umno akan mendaftarkan Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk dengan Pas sebelum ini bakal menguji pendirian Pas.

Ini kerana, Pas baru saja mengulangi ikrar menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata tokoh wartawan negara Datuk A Kadir Jasin.

Bekas penasihat media perdana menteri itu berkata, dengan cadangan menyegerakan pendaftaran MN itu, Biro Politik Umno, secara tidak langsung memberi kata dua kepada Pas sama ada hendak terus bersama PN atau kembali kepada MN.

Kadir berkata demikian dalam tulisan yang dibuatnya malam tadi dan disiarkan melalui facebook beliau.

Namun beliau menulis kali ini dengan penegasan bahawa beliau bukan lagi ahli mana-mana parti politik.

“Penegasan ini mungkin penting dan mingkin tidak. Mulai 6 Ogos lalu saya tidak lagi menjadi ahli mana-mana parti politik dan tidak akan terlibat lagi dengan politik kepartian (partisan politics),” tulis beliau.

Sebelum ini Kadir menyertai Bersatu pimpinan Tun Dr Mahathir dan kekal dengan Mahathir selepas bekas perdana menteri itu dipecat dari Bersatu.

TELUR DI HUJUNG TANDUK

Bagi Kadir, kenyataan Ahmad Maslan malam tadi jelaslah bahawa kerajaan Perikatan Nasional sama ada telah hilang majoriti misterinya “atau ibarat telur di hujung tanduk seekor kerbau jantan yang akan berlaga.”

“Secara langsung ia memberi kewibawaan kepada dakwaan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, dan pihak-pihak lain bahawa Perdana Menteri, Muhyiddin Mohd Yassin, telah hilang sokongan majoriti.

“Lagi pun, majoriti yang didakwa oleh Presiden Bersatu itu hanyalah teori dan tekaan (conjecture). Ia tidak pernah diuji di Dewan Rakyat dan Muhyiddin menggunakan pelbagai tipu helah bagi mengelakkannya,” kata beliau.

Bagi beliau, dengan penarikan balik sokong Umno ini, kedudukan kerajaan PN semakin tidak menentu.

Menurut kenyataan Ahmad Maslan yang dikeluarkan selepas mesyuarat Biro Politik parti itu, sokongan Umno seterusnya akan hanya diberikan dengan syarat-syarat baru.

“Tentulah syarat-syarat baru itu lebih ketat,” kata bekas Ketua Pengarang konglomerat media, NSTP Group itu.

Tapi, kata beliau, nampaknya dengan menghebahkan hasil keputusan Biro Politik tanpa menunggu pengesahan Majlis Tertinggi terdapat “masalah” dalam Umno sendiri.

“Boleh jadi jika dibawa kepada MT akan berlaku perbezaan pendapat kerana jelas ada sebahagian ahli MT yang ternyata menjadi penyokong kuat Muhyiddin kerana mereka ada jawatan empuk dalam kerajaan PN,” katanya.