Malaysia Dateline

Keputusan Undi 18 pengiktirafan kepada belia, kata Ahli Parlimen Kuching

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuching terhadap pelaksanaan penurunan usia pengundian dari 21 hingga 18 bermula pada 31 Disember tahun ini adalah satu pengiktirafan kepada golongan belia di negara ini dalam menentu pemimpin akan datang.

Ahli Parlimen DAP Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii berkata Kerajaan Persekutuan wajib melaksanakan keputusan itu khususnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak yang dijangka selepas tamat tempoh darurat 2 Februari tahun depan.

‘Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada lima pelajar Sarawak dan semua anak muda di seluruh negara yang telah berdiri dan bekerja keras untuk mengemukakan semakan kehakiman ini terhadap Kerajaan Persekutuan.

“Komitmen, keberanian dan ketekunan mereka telah menjadi contoh bagi kita semua bahawa para belia dapat mendahului dalam memperjuangkan apa yang betul untuk negara.

“Tindakan mereka ini telah menjadi pemangkin kepada keputusan monumental yang penting bagi semua belia Malaysia dan pengiktirafan atas peranan penting mereka dalam sistem demokrasi negara kita,” jelas Dr Kelvin dalam satu kenyataan media di Kuching hari ini.

Justeru, beliau melihat keputusan ini juga menunjukkan bahawa tindakan awal kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menunda pelaksanaan pindaan perlembagaan Undi 18 adalah tidak sah, tanpa dasar dan bentuk penindasan pengundi, terutama dalam menolak suara dan hak mereka memilih pemimpin generasi muda.

“Itulah sebabnya saya mendesak Kerajaan Persekutuan untuk tidak menunda pelaksanaannya lagi, bukan hanya untuk menghormati keputusan Mahkamah Tinggi, tetapi juga berkenaan dengan semangat Parlimen yang mana pindaan perlembagaan tersebut disahkan di Dewan Parlimen secara sebulat suara dalam barisan politik bahkan di tengah-tengah iklim politik yang sangat kepartian

“Maka, dengan itu kita perlu mendorong politik yang lebih progresif, konstruktif dan partisipatif,” tegas beliau lagi.

Dr Kelvin menambah, ketika era pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pindaan Undi18 adalah detik bersejarah sekali gus membolehkan para belia berfikir dan bertindak secara bebas mengenai isu-isu mengenai kehidupan, persekitaran dan masa depan mereka.

“Justeru, saya mendesak Perdana Menteri dan Peguam Negara (AG) untuk tidak mengemukakan keputusan tersebut kerana kita harus menghormati kehendak anak-anak muda selain memfokuskan semua tenaga dan sumber bagi melaksanakannya secepat mungkin,” katanya.