Malaysia Dateline

Kera tak mahu, tetapi kambing berjanggut pula yang berebut

Dakwaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Pakatan Harapan menjolok durian mentah dalam pilihan raya umum ke 14, yang tidak mahu dimakan tupai dan kera terus mendapat perhatian orang ramai.

Hari ini, penulis Mohd Sayuti Omar menulis mengenainya dengan menyerang kembali Duta Khas ke Timur Tengah bertaraf Menteri itu.

“Tok Dor Hadi kata kemenangan PH dalam Piraum lalu seperti buah durian putik (mentah) gugur dimana kera dan tupai pun tak nak makan. Mereka berebut untuk mengopek buah mentah.

“Yang ganjilnya, tiba-tiba pula kambing berjanggut, bersama musang tanggalung, tenok serta biawak tergamak pula memakan buah durian mentah berkenaan.

“Aneh, haiwan apa pula sanggup curi untuk memakan buah durian mentah,” tulis Sayuti yang banyak menulis mengenai politik Melayu itu.

Hadi dalam tulisan Minda Presidennnya mendakwa, rakyat tertipu dengan media dalam pilihan raya umum lalu sehingga kemenangan PH itu rapuh dan mentah.

“laksana mengait buah durian kerana tidak sabar menunggu sehingga masak dan matang, maka gugurlah dalam keadaan mentah yang ditolak oleh tupai dan kera, apatah lagi manusia.

“Malangnya mereka berkelahi untuk membuka buah yang gugur itu dan memarahi orang lain kerana buahnya yang masih mentah.

“Beginilah nasib negara ketika PRU-14 dan pascanya sehingga negara terpaksa diselamatkan kerana mentahnya kemenangan yang tidak berkesudahan dengan krisis yang berlaku dan menyusahkan rakyat,” kata beliau dalam tulisan itu yang mendapat kecaman pelbagai pihak.