Malaysia Dateline

Kerajaan Abah vs Keluarga Malaysia

Semua Menteri zaman Mahiaddin Md Yasin yang jaga hal Covid-19 adalah orang Umno. Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob. Dia ini Menteri Pertahanan. Logiknya, yang patut jadi Menteri Kanan Kluster Keselamatan ialah Hamzah Zainuddin kerana dia adalah Menteri Dalam Negeri yang tugas utamanya keselamatan.

Dulu nama Kementerian ini namanya Kementerian Keselamatan Dalam Negeri. Hamzah ini pun orang Umno. Menang pilihan raya umum 2018 atas tiket Barisan Nasional tapi lompat masuk Bersatu kerana Umno kalah.

Apabila Ismail Sabri dilantik jadi Timbalan Perdana Menteri, tempatnya diganti oleh Hishammuddin Hussein, Menteri Luar Negeri. Dia pun orang Umno juga.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba orang Umno. Begitu juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.

Jadi semua Menteri yang bersangkut paut dengan Covid-19 adalah dari Umno. Macam mana boleh jadi macam itu? Kebetulan atau dirancang? Dr Adham oklah dia doktor perubatan.

Rasanya Mahiaddin sendiri tidak yakin dengan Menteri-menteri Bersatu yang tidak ada pengalaman kecuali Hamzah. Tapi dia pun asalnya Umno juga. Azmin Ali baru saja lompat dari PKR masuk Bersatu.

Sekarang Mahiaddin sudah dijatuhkan oleh kluster mahkamah dan kleptokrat Umno dan Ismail Sabri naik jadi Perdana Menteri. Yang sokong dia termasuklah anggota kluster mahkamah dan kleptokrasi.

Maka timbullah persoalan, bolehkah Umno yang gagal mengawal Covid-19 di bawah pentadbiran Mahiaddin berjaya di bawah kepemimpinan Ismail Sabri?

Yang nampak berjaya adalah Khairy itu pun bukan tanpa kontroversi.

Masalah besar kerajaan Perikatan Nasional adalah kurang keyakinan rakyat jelata terhadapnya, yang bermula dengan rampasan kuasa ke atas kerajaan Pakatan Harapan dan ketakutan untuk membuktikan keabsahan (legitimacy) di Parlimen.

Apabila kerajaan tidak menunjukkan teladan yang baik, tentulah sukar bagi orang ramai mempercayainya.

Dilihat daripada contoh dalam gambar di bawah ini, jelaslah yang bapak-bapak kepala Umno bukanlah teladan yang baik dalam pengawalan Covid-19. Amalan asas SOP pun ramai yang tidak patuhi.

Ini menambahkan lagi kebimbangan mengenai kemungkinan amalan kasta, feudalisme, elitisme, hedonisme, pemujaan kultus, penyalahgunaan kuasa dan rasuah menjadi semakin kronik.

Soal penjimatan duit dan aset negara satu hal lagi. Kalau dilihat daripada cara mereka menyerbu naik jet eksekutif Airbus 319 milik kerajaan bersama Ismail Sabri untuk ke Kedah pada 23 Ogos, nampak sangat sifat pĕrak dan rakus mereka.

Ini bukanlah gambaran “Keluarga Malaysia” yang bertimbang rasa dan sama rata yang diharapkan. Sebaliknya pratayang kepada kepulangan kronisme Umno.

Itu belum lagi pelantikan dan saiz Kabinet. Sudah pun kedengaran spekulasi yang watak-watak tercemar dan tidak disukai malah gagal dalam Kabinet Mahiaddin akan dilantik ke jawatan penting dalam Kabinet Ismail Sabri.

Ismail Sabri sendiri dikatakan akan memegang jawatan Menteri Kewangan macam pada penghujung zaman Umno.

Mahiaddin mencipta sejarah hitam dengan menambah bilangan kementerian dan melantik Menteri serta Timbalan Menteri yang sangat ramai – lebih 70 orang yang sampai hari ini banyak yang kita tidak kenal dan tidak tahu apa sumbangan mereka selain membebankan kewangan negara.

Tahun lalu saja, RM7.18 bilion peruntukan tambahan diperlukan untuk penstrukturan semula Kabinet.

Apa-apa pun kita tidak ada pilihan selain tunggu dan lihat sama ada kerajaan “Keluarga Malaysia” Ismail Sabri/Umno ini lebih baik atau buruk daripada kerajaan “Abah” Mahiaddin/Bersatu.