Kerajaan ada 3 jet peribadi, kenapa perlu sewa untuk Rosmah? soal Rafizi

Kerajaan ada 3 jet peribadi, kenapa perlu sewa untuk Rosmah? soal Rafizi

Setiausah Agung PKR Rafizi Ramli hari ini mempersoal kewajaran kerajaan membelanjakan RM86 juta untuk menyewa jet peribadi milik Emirates dengan nombor pendaftaran A6-CJE bagi kegunaan isteri perdana menteri Datin Sri Rosmah Mansor ke Istanbul.

Ini kerana katanya kerajaan Persekutuan sudah mempunyai 3 jet peribadi yang hanya digunakan oleh beberapa orang sahaja.

Menurut beliau 3 jet tersebut ialah ACJ319 9M-NAA – dibeli beberapa tahun lalu dan aktif beroperasi, ACJ320 9M-NAB – dibeli tahun lalu dan dimaklumkan kini sedang diselenggara untuk beberapa bulan, BBJ737-700 M53-01 – dibeli 10 tahun lalu, dilaporkan akan dijual tetapi masih digunakan secara aktif mengikut rekod penerbangan.

“Tidakkan boleh sahaja digunakan jet-jet sedia ada untuk penerbangan ke Istanbul yang sudah tentu menjimatkan wang rakyat?” soalnya dalam sidang media di pejabat Amanah Kuala Kangsar hari ini.

Rafizi 9 Jun lalu mendedahkan bahawa kerajaan dianggar membelanjakan RM86 juta untuk menyewa jet mewah peribadi ACJ316 A6-CJE untuk kegunaan Rosmah selama dua bulan atas alasan satu lagi jet peribadi sedang diselenggara.

Menurut Rafizi, angka RM86 juta itu diperolehi berdasarkan semakan beliau dengan syarikat-syarikat yang menawarkan khidmat menyewa jet peribadi mewah ACJ319 yang menunjukkan bahawa kadar sewaan adalah mengikut jam; iaitu USD15,000 setiap jam.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran kerajaan membelanjakan RM86.4 juta untuk menyewa jet mewah sedangkan rakyat dibebankan dengan cukai barangan dan pekhidmatan (GST), penghapusan subsidi, kenaikan harga, potongan mendadak biasiswa dan pembiayaan pendidikan melalui MARA, PTPTN dan lain-lain.

Beliau menyenaraikan beberapa contoh mudah bagaimana RM86.4 juta ini boleh dibelanjakan untuk rakyat:

1. Menanggung biasiswa penuh untuk pelajar paling cemerlang di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan (awam atau swasta) sebanyak RM45,000 untuk kursus ijazah bagi 1,920 pelajar cemerlang

2. Pinjaman MARA sebanyak RM20,000 kepada seramai 4,320 anak-anak Bumiputera untuk membiayai pendidikan.

3. Menghantar 86 daripada 300 pelajar cemerlang SPM 2013 yang sepatutnya belajar di universiti ternama seluruh dunia tetapi biasiswa itu dibatalkan atas alasan kerajaan tidak cukup wang.

4. Jika diberi kepada pelajar miskin yang cemerlang di sekolah dalam bentuk Biasiswa Kecil Menengah sebanyak RM500 seorang, jumlah ini akan memanfaatkan 172,800 keluarga.

Oleh itu, katanya, tidak ada alasan yang boleh diberikan oleh mana-mana pemimpin Umno/BN untuk mewajarkan pembaziran tahap mega ini.

Beliau turut menggesa calon BN di Kuala Kangsar dan Sungai Besar memprotes tindakan bermewah kerajaan BN di saat rakyat menghadapi tekanan hidup.

Para pengundi di dua PRK itu juga khususnya para penyokong BN diseru  membuang undi protes dengan mengundi calon Pakatan Harapan dari AMANAH di kedua-dua kerusi; atau pun tidak keluar mengundi langsung di dalam PRK ini.

COMMENTS

Wordpress (0)