Kerajaan ada kuasa tentukan umur minima perkahwinan kanak-kanak

Kerajaan ada kuasa tentukan umur minima perkahwinan kanak-kanak

Lebih kurang 9,000 perkahwinan kanak-kanak telah dilaporkan antara tahun 2010 hingga 2015, melibatkan 6,268 orang Islam dan 2,775 orang bukan Islam.

Kanak-kanak didefinisikan dalam Akta Umur Dewasa 1971 sebagai seseorang yang belum mencapai umur 18 tahun.

Hal perkahwinan bagi orang Islam di Malaysia adalah berdasarkan enakmen Undang-undang Keluarga Islam negeri masing-masing manakala bagi bukan Islam berdasarkan Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 yang ditentukan oleh Parlimen.

Di bawah undang-undang sivil bagi bukan Islam, umur minimum bagi lelaki dan perempuan untuk berkahwin adalah 18 tahun tetapi bagi pasangan perempuan, kebenaran boleh diminta daripada Menteri Besar atau Ketua Menteri bagi perkahwinan bawah 18 tahun. Adapun begitu, bagi yang berumur 16 tahun ke bawah adalah dilarang sama sekali.

Bagi Undang-undang Keluarga Islam di negeri-negeri pula menetapkan umur minimum bagi lelaki adalah 18 tahun dan perempuan 16 tahun. Manakala seorang Hakim Mahkamah Syariah mempunyai kuasa bagi membenarkan perkahwinan bagi mana-mana kanak-kanak di bawah umur yang ditetapkan ini.

Perkahwinan dalam Islam tertakluk kepada kemampuan kedua pasangan lelaki dan perempuan untuk memenuhi tanggungjawab dan objektif perkahwinan. Seorang lelaki perlu bersedia menjadi suami dan ayah yang bertanggungjawab, begitu juga isteri.

Ini diulas oleh Sheikh Dr. Jasser Auda, ahli Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang menjelaskan bahawa ayat 6 surah an-Nisaa mengaitkan sifat Rusyd dengan perkahwinan dan makna Rusyd iaitu kematangan bukan sahaja merujuk pada usia baligh malah aspek kemampuan seseorang itu melaksanakan tuntutan dan tanggungjawab.

Kerajaan Persekutuan dan negeri berhak menukar dan menetapkan had umur minima baharu serta perlu memainkan peranan proaktif dalam menentukan aspek Rusyd dalam perkahwinan seterusnya menjamin kebaikan terlaksana kepada kanak-kanak di negara ini berdasarkan kaedah Fiqh :

تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة
Tindakan pemerintah ke atas rakyat adalah mesti berkait dengan maslahah (kebaikan).

Ini ditunjukkan oleh Saidina Umar apabila di zaman pemerintahannya menetapkan cerai talak tiga jatuh tiga bagi memastikan umat Islam lebih berhati-hati dan menyelamatkan rumahtangga.

Siasah Rahmah ingin menyeru Kerajaan merujuk hasil Muzakarah Jawatankuasa Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-106.

Jawatankuasa itu memutuskan bahawa isu berkaitan perkahwinan kanak-kanak tidak lagi dilihat sebagai satu amalan yang sihat pada masa ini kerana wujudnya masalah kesihatan fizikal dan mental yang dialami pada pasangan perempuan akibat perkahwinan kanak-kanak. Perkahwinan kanak-kanak hanya boleh dibenarkan dengan syarat ia dilakukan semata-mata untuk memenuhi kemaslahatan kanak-kanak tersebut secara syar’ie.

Selain itu sekiranya masih diperlukan, pihak berkaitan perlu memperketatkan syarat-syarat perkahwinan kanak-kanak dan memastikan keizinan yang boleh diberikan oleh Menteri Besar/Ketua Menteri dan Mahkamah Syariah dijalankan mengikut prosedur yang jelas dan terperinci,

*Penulis Arham Merican, Pengarah Siasah Rahmah, badan advokasi polisi pro-Shariah.