Malaysia Dateline

Kerajaan ada pilihan guna simpanan negara bukan simpanan pekerja

Sebahagian rakyat termasuk mungkin bukan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilihat teruja benar dengan kemudahan pengeluaran caruman akaun dua simpanan waktu pencen itu.

Biarpun pengumuman Perdana Menteri semalam bersifat pilihan tetapi kerajaan sebenarnya ada pilihan untuk tidak membiarkan ramai pekerja menderita kala tua nanti akibat tidak cukup wang simpanan.

Kita semua tahu majoriti rakyat tidak mempunyai wang walaupun RM1,000 dalam simpanan. Kita juga sudah diberitahu bagaimana kritikalnya keadaan kewangan ramai rakyat negara ini apabila hanya bergantung pada perancangan persaraan secara pasif, iaitu melalui caruman yang dibuat oleh KWSP.

Lebih membimbangkan, dua daripada tiga ahli KWSP berusia 54 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 dengan majoriti rakyat Malaysia tidak mempunyai sumber pelan kewangan lain.

Golongan berpendapatan rendah di Lembah Klang dibimbangi berdepan krisis kewangan jika wabak Covid-19 berlarutan.

Jika itu masih belum membimbangkan anda lagi, separuh dari ahli KWSP yang berumur lebih daripada 55 tahun berpotensi menghabiskan simpanan mereka dalam tempoh lima tahun selepas persaraan!

Jadi, membenarkan rakyat yang mempunyai caruman KWSP mulai 1 April ini untuk mengeluarkan wang akan menjerumuskan mereka kepada putaran ganas masalah wang yang lebih dahsyat untuk jangka panjang.

Padahal, kos hidup terutama makanan dan perubatan untuk tempoh 10 hingga 30 tahun akan datang adalah jauh lebih tingi.

Pakar ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid pun sudah mengingatkan pentingnya kerajaan memberikan bantuan RM1,000 sebulan kepada yang bekerja sendiri juga subsidi gaji sebanyak RM1,000 sebulan setiap pekerja kepada majikan.

Itu sebabnya jika kita teliti, kemudahan pengeluaran caruman itu bukannya daripada kerajaan. Wang dalam akaun dua KWSP itu adalah wang rakyat atau lebih spesifik wang pekerja bagi 12 juta ahli.

Juga itu tidak boleh dianggap sebagai “sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat” seperti disebutkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tanpa terkepung dalam politik partisan pun, bagi rakyat yang celik tidak akan terangsang dengan pakej rangsangan yang mengambil duitnya sendiri. Hanya lega seketika tetapi masalah bertimpa di kemudian hari.

Pekerja kilang antara kelompok paling teruk terjejas ekoran wabak Covid-19.

Deretan hartawan

Soalnya, mampukah simpanan persaraan anda bertahan jika sebelum bersara sudah dibenar mengeluarkan wang walaupun maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan bersamaan RM6,000?

Benar, tidak luak banyak mana pun kalau maksimum RM6,000 dikeluarkan. Namun, bukan sedikit jumlah pencarum sebelum ini yang sudah menggunakan akaun dua mereka untuk pembiayaan rumah dan pelajaran.

Sebagai rakyat yang harus sedar hak mereka, kerajaan patut didesak supaya tidak lepas tangan hingga dibiar mengorbankan simpanan hasil titik peluh rakyat untuk masa tua.

Negara kita umumnya bukan miskin hasil bumi. Jikalau tidak, mustahil jumlah kekayaan 10 individu terkaya di Malaysia sahaja mencecah AS$79 bilion.

Kita juga mempunyai deretan senarai 50 hartawan yang diiktiraf antarabangsa selain ramai lagi jutawan kosmetik yang menayangkan harta mereka di media sosial. Pendek kata, orang kaya yang minoriti ini memonopoli agihan kemakmuran negara.

Negara mempunyai simpanan lebih RM400 bilion antaranya Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang ditubuhkan sejak tahun 1988.

Petronas merupakan penyumbang tunggal dana KWAN dengan sumbangan terkumpul berbilion ringgit setiap tahun.

Sepatutnya, simpanan negara terlebih dahulu diguna bukannya simpanan pekerja dalam mendepani waktu kecemasan seperti wabak Covid-19 ini.

Paling genting, pembiayaan sepenuhnya segala keperluan perubatan yang patut diletakkan keutamaan nombor satu.

Oleh sebab itu, kerajaan ada pilihan menggunakan simpanan negara bukan simpanan pekerja.

Ribuan penjaja kecil dan pekerja sendiri yang dilarang beroperasi sepanjang PKP memerlukan bantuan segera kerajaan.