Malaysia Dateline

Kerajaan akan ambil alih konsesi lebuh raya secara berperingkat, kata Mohamed Azmin

Kerajaan sememangnya bercadang untuk mengambil alih konsesi lebuh raya di negara ini namun ia akan dilakukan secara berperingkat dan perlu melalui proses yang betul, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, proses pengambilalihan tol lebuh raya memerlukan perbincangan menyeluruh seperti melihat kembali perjanjian yang ditandatangani serta implikasi kewangan yang bakal terjadi selepas pengambilalihan tersebut.

“Satu per satu lah (ambil alih tol), tadi kamu (pemberita) kata beban kewangan besar bila laksanakan ambil alih.

“Apabila kerajaan ambil empat (tol) kata tidak ada kemampuan nak bayar, sekarang nak suruh ambil lagi satu pula,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan yang bertanya mengapa kerajaan tidak turut mengambil alih syarikat konsesi lebuh raya milik Plus Malaysia Bhd. (PLUS). – Bernama