Kerajaan akan berjumpa semua pemilik tanah Kampung Baru 21 September depan

Kerajaan akan berjumpa semua pemilik tanah Kampung Baru 21 September depan

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad akan mengadakan perjumpaan bersama semua pemilik tanah Kampung Baru pada 21 September depan, bagi membincangkan secara mendalam tentang pelan pembangunan di kampung tersebut.

Dalam perjumpaan itu, Khalid berkata, pihaknya akan menjelaskan kepada semua pemilik tanah Kampung Baru itu mengenai hasrat kerajaan dalam usaha untuk membangunkan penempatan itu.

“Selain menjelaskan hasrat kerajaan, kita juga akan membuat tawaran kepada pemilik tanah berdasarkan apa yang ingin kita tawarkan kepada mereka (pemilik tanah).

“Dalam perjumpaan itu, kami turut menyediakan pelan pembangunan secara tiga dimensi (3D) yang membolehkan penduduk melihat sendiri keadaan semasa kampung itu dan keadaan selepas ia dibangunkan.

“Pemilik tanah akan diberikan penjelasan tentang manfaat yang akan diperolehi mereka hasil pembangunan tersebut. Saya juga telah memaklumkan mengenai perjumpaan itu kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dan beliau akan hadir bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam rancangan Bicara YB Khalid Samad (Siri 30) yang bertajuk Pembangunan Kampung Baru – Helah Untuk Usir Melayu Dari Bandar, di Facebook Jom Channel, malam tadi.

Dalam pada itu, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH menyifatkan pengusiran orang Melayu dari ibu kota supaya rumah dan kawasan yang sekarang ini diduduki oleh orang Melayu di Kampung Baru itu, akhirnya akan dimiliki oleh orang bukan Melayu, adalah helah semata-mata.

“Ini semua tuduhan, khabar angin dan dakyah yang sedang disebarkan menggunakan surat persatuan khususnya kepada penduduk Kampung Baru.

“Dakwaan bahawa mustahil untuk membangunkan kampung tersebut, itu agak pelik lah kerana tiada sebab ianya mustahil kerana ianya kawasan seperti mana juga kawasan lain di negara kita.

“Hanya ada syarat tertentu, iaitu ianya mestilah merupakan kawasan yang tanahnya dimiliki oleh orang Melayu.

“Itu merupakan satu syarat yang akan kita hormati dan kita tentukan ianya kekal dimiliki masyarakat Melayu,” katanya lagi.

Pada 22 April lalu, Khalid dipetik sebagai berkata, kerajaan memerlukan dana RM10 bilion jika berhasrat membeli tanah di Kampung Baru untuk dibangunkan menjadi penempatan moden dan sistematik orang Melayu di tengah ibu kota.

Beliau berkata, dana itu diperlukan untuk membolehkan kementerian membangunkan Kampung Baru secara menyeluruh dan bukan secara berkelompok atau ‘runcit’ oleh pemilik tanah bersama pemaju.

Sejarah Kampung Baru sebagai kawasan penempatan orang Melayu terbesar di ibu kota bermula pada 1899, melalui tanah kurniaan Sultan Selangor ketika itu, Sultan Alauddin Sulaiman Syah Raja Muda Musa (Sultan Sulaiman).

Kampung Baru telah ditubuhkan oleh kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan negeri Selangor semasa rancangan pembangunan semula Kuala Lumpur daripada sebuah kampung lombong timah kepada sebuah bandar utama.