Malaysia Dateline

Kerajaan akan bincang dengan Yayasan Waqaf berhubung dana pusat tahfiz

Kerajaan akan berbincang dengan Yayasan Waqaf Malaysia untuk mencari mekanisme terbaik dalam usaha mengumpul dana bagi pembangunan pusat tahfiz seluruh negara, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh .

Beliau berkata yayasan itu sebagai sebuah institusi berdaftar, memiliki kredibiliti dan prasarana yang lengkap untuk melaksanakan tugas mengumpul dana.

Usaha mencari dana itu perlu dilakukan kerana pusat tahfiz tidak boleh hanya bergantung kepada peruntukan RM100 juta daripada  kerajaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan dua traktor untuk kegunaan penduduk Kampung Pantai Sepat, Kampung Soi dan Kelab Komuniti Desa Kampung Pahang di Pantai Sepat, Kuantan pada Khamis.

“Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah meluluskan Majlis Tahfiz Negara yang dasar itu memberi ruang kepada penambahbaikan aspek seperti kurikulum dan latihan guru untuk mengarusperdanakan pusat tahfiz.

“Tetapi malangnya dari segi pembangunan, kita tiada bajet kerana ia termasuk di bawah enakmen sekolah agama negeri yang terletak di bawah Majlis Agama Islam Negeri,” kata Fuziah. — BERNAMA