Malaysia Dateline

Kerajaan akan meminda Sosma dan peruntukan undang-undang bersifat ‘keras’

Kerajaan akan meminda Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan peruntukan undang-undang yang bersifat ‘keras’ bagi mengelakkan ia disalahguna.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang membuat pengumuman itu, memberitahu bahawa pindaan tersebut akan dilaksanakan pada sidang Parlimen kali ini.

“Undang-undang tersebut kemungkinan kita tidak akan menghapuskannya, tetapi ianya akan diubah (dipinda) pada bahagian-bahagian yang ‘keras’ seperti menangkap dan menahan tahanan tanpa dicas.

“Kita akan melakukannya (pindaan) secepat mungkin termasuklah Sosma,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, malam tadi.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut adalah, Menteri Pertahanan yang juga Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad yang juga merupakan Pengarah Komunikasi AMANAH.

Ditanya adakah pindaan itu dibuat disebabkan penahanan beberapa suspek yang dikatakan terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menafikan perkara berkenaan.

“Sebelum ini kita sudah janji nak buat tetapi ianya perlu ditangguhkan kerana beberapa faktor. Jadi, kami kena ambil tindakan segera agar ia tidak disalahgunakan,” katanya lagi.

Pada 15 Oktober lalu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berpendapat, Sosma tidak perlu dimansuhkan, sebaliknya perlu dipinda.

Ini kerana katanya, penggunaan akta tersebut boleh disalahguna dan mengambil contoh Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah yang pernah ditahan di bawah Sosma.

“Ketika itu, Maria Chin hanya terlibat dalam Himpunan Bersih. Bagi kita tindakan seperti itu tidak patut dikenakan dan akta tersebut perlu diperbaiki,” katanya

Sementara itu, Pengarah Undang-Undang Pakatan Harapan Negeri Kelantan, Hisham Fauzi turut berkongsi pendapat yang sama dengan Mohamad.

Katanya, Sosma boleh dikekalkan, namun ianya perlu ditambah baik dari segi aspek hak-hak asasi manusia sebagaimana yang terdapat dalam perlembagaan.

“Pada pendapat saya, Sosma ini perlu dipinda kerana ia adalah undang-undang untuk mencegah pengganas. Undang-undang itu perlu, cuma dia kena ada elemen seperti membawa tertuduh ke mahkamah dengan segera dan akses kepada peguam kerana hak asasi perlu dijaga,” katanya.