Malaysia Dateline

Kerajaan akan muktamadkan status Akta Hasutan dalam masa terdekat

 

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan, pihak kerajaan akan memuktamadkan status Akta Hasutan dalam jangka masa terdekat.

Mahathir memaklumkan, pihaknya kini berada dalam status menyusun semula ayat-ayat yang terdapat dalam akta berkenaan.

“Kita akan menyelesaikan perkara itu (memuktamadkan akta hasutan) secepat mungkin,” katanya dalam sidang media, di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya pemberita berkenaan proses seterusnya akta tersebut di peringkat kerajaan, selepas ia menjadi isu susulan penahanan penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin.

Kelmarin, Wan Ji dijatuhi hukuman penjara selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam, menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, tujuh tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Halim Aman meminda hukuman berkenaan kepada setahun penjara terhadap Wan Ji selepas mempertimbangkan rayuan silang pihak pendakwaan.