Malaysia Dateline

Kerajaan akan pertimbang tuntutan Hindraf

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan meneliti dan mempertimbangkan 25 tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf 2.0).

Pertimbangan tersebut termasuk tuntutan berkaitan tanah rancangan Felda dan kemasukan pelajar ke Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Kita akan mempertimbangkan tuntutan (Hindraf 2.0) itu,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)  semalam.

Perdana Menteri mengulas mengenai tuntutan Hindraf 2.0 supaya kerajaan menyediakan tanah seperti tanah rancangan Felda kepada kaum India yang berpendapatan rendah, selain membuka kemasukan UiTM kepada semua kaum.

Terdahulu, semalam Ketua Umum Hindraf, P Uthayakumar berkata, Hindraf 2.0 turut menuntut supaya UiTM yang diwujudkan khusus untuk Bumiputera dan Melayu supaya dibuka untuk semua kaum terutama untuk kaum India dari golongan berpendapatan bawah 75 peratus (B75).

Jelasnya, Hindraf juga menuntut 20,000 lot tanah seperti Felda seluas dua hektar setiap satu lot yang ditanam sawit dan ternakan lembu liar, peluang skim pemilikan tanah dilengkapi rumah serta kemudahan asas.

Pertubuhan tersebut telah menyerahkan memorandum mengandungi 25 tuntutan kepada kerajaan menerusi Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham.

Memorandum itu diterima Sekretariat Majlis Penasihat Kerajaan, Zawiyah Mohd Yusof.

Tuntutan lain Hindraf 2.0 ialah 20,000 lesen dan permit kerja bagi projek kerajaan, lesen penjaja kecil, memberikan taraf warganegara kepada warga India tidak memiliki dokumen diri.

Ia termasuk menangani isu kemiskinan golongan B75, isu pengsngguran, masalah jenayah, mengurangkan pengambilan pekerja warga asing, pemberian tanah seluas 0.8 hektar kepads kuil dan tanah seluas empat hektar bagi tanah perkuburan Hindu.

Uthayakumar berkata, kerajaan baharu pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad wajar menimbang dan mengambil kira tuntutan Hindraf 2.0 selepas 80 peratus pengundi India menyokong PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu