Malaysia Dateline

Kebun kelapa sawit milik peneroka Felda

Kerajaan akan tangani kemerosotan harga minyak sawit

Kemerosotan harga niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) Malaysia semalam – yang terbesar dalam tempoh lebih 21 bulan – membimbangkan, bagaimanapun kerajaan akan melakukan pelbagai usaha untuk menangani isu itu, kata Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Semasa ditutup semalam, penanda aras kontrak MSM bagi penghantaran Februari di Bursa Malaysia Derivatives Exchange susut 3.9 peratus kepada RM1,965 satu tan, kejatuhan satu hari yang terbesar sejak 16 Feb tahun lepas.

Menyifatkan situasi harga rendah sebagai normal berdasarkan kitaran perladangan, katanya pengeluaran minyak makan di peringkat global dalam tempoh dua tahun lepas meningkat berikutan cuaca yang baik, yang membawa kepada stok meningkat.

“Harga merosot serendah RM1,500 satu tan pada November 2008 dan ia turut jatuh pada 2009.

“Tetapi apabila ini berlaku, kita perlu meneruskan penglibatan dengan pihak berkepentingan untuk memastikan walaupun harga rendah, kita masih berusaha untuk memastikan pasaran memberi respons yang positif,” katanya kepada pemberita di luar Seminar Kebangsaan mengenai Pengilangan Sawit, Penapisan, Alam Sekitar dan Kualiti di sini hari ini.

Shamsul Iskandar berkata kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk menangani isu itu, termasuk melalui penglibatannya dalam Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).

“Kita merupakan pengerusi majlis itu untuk tahun ini. Oleh itu, kita akan menggunakan platform ini untuk menghadapi cabaran harga,” katanya, sambil menambah Malaysia akan bekerjasama dengan pengeluar minyak sawit terbesar di dunia, Indonesia, untuk mengatasi masalah itu.

Pengeluaran minyak sawit kedua-dua negara itu menyumbang 83 peratus daripada minyak sawit dunia.

Katanya beliau berharap dengan pelaksanaan program biodiesel B10 pada tahun depan, harga MSM akan menjadi agak positif pada suku pertama 2019.

Dilaporkan MSM Malaysia terjejas selepas Indonesia mengumumkan langkah untuk meningkatkan penghantaran dan ia akan mengurangkan levi eksport kepada sifar daripada US$50 satu tan sebelum ini.

Eksport produk minyak sawit Malaysia bagi 1-25 Nov merosot 2.6 peratus kepada 1,041,433 tan berbanding 1,068,662 tan dalam tempoh sama pada bulan sebelumnya, menurut penyelidikan kargo, Intertek Testing Services.

— BERNAMA