Kerajaan akan tetap cari Jho Low walaupun sukar, kata Mahathir

Kerajaan akan tetap cari Jho Low walaupun sukar, kata Mahathir

Kerajaan akan tetap meneruskan usaha mencari ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low walaupun sukar, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Terdapat hanya kira-kira tujuh bilion penduduk (dunia) jadi, tidaklah sukar sangat.

“Kita boleh cari dia, walaupun sukar,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR), Putrajaya, hari ini.

Jho Low, yang dikenal pasti oleh penyiasat Malaysia dan Amerika Syarikat sebagai watak utama dalam skandal berbilion dolar 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dipercayai melarikan diri daripada ditahan di Hong Kong ke pulau berdekatan dengan Macau.

Sebuah portal dalam talian melaporkan semalam bahawa Jho Low menafikan laporan The Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa beliau turut memainkan peranan dalam rundingan dengan China untuk membayar balik hutang 1MDB pada 2016 sebagai tukaran kepada pemberian kontrak-kontrak mewah.

Jho Low, dalam satu kenyataan melalui jurucakapnya yang dikeluarkan menerusi peguam-peguamnya mendakwa artikel berkenaan sebagai “separuh benar” dan menuduh pentadbiran Dr Mahathir bertanggungjawab dalam perkara itu.

Ditanya mengenai dakwaan Jho Low kononnya tuduhan-tuduhan itu bermotifkan politik, Dr Mahathir berkata ahli perniagaan yang sedang melarikan diri itu sudah banyak kali bercakap seperti itu sebelum ini.

“Dia yang curi duit bermotifkan politik,” kata Dr Mahathir.

Mengenai laporan WSJ itu, Dr Mahathir berkata kerajaan perlu mendapatkan dokumen-dokumen yang disebut dalam laporan itu sebelum mengambil apa-apa tindakan.

“Kita perlu cari dokumen-dokumen itu dulu dan menggunakan dokumen-dokumen berkenaan sebagai bukti bahawa ia benar-benar berlaku. Pada masa ini ia hanya sebuah berita dalam akhbar,” kata beliau.

Memetik minit mesyuarat beberapa siri mesyuarat yang tidak didedahkan sebelumnya, WSJ melaporkan pada Isnin bahawa pegawai-pegawai China telah memberitahu rakyat Malaysia yang melawat Beijing bahawa mereka akan menggunakan pengaruh mereka untuk memujuk Amerika Syarikat dan beberapa negara lain untuk menggugurkan siasatan terhadap dakwaan bahawa rakan sekutu bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Najib Razak dan yang lain-lain telah mencuri wang 1MDB.

Sebagai balasan, dakwa WSJ, Malaysia menawarkan kontrak mewah bagi pembinaan landasan kereta api dan saluran paip di bawah program pembinaan infrastruktur ‘One Belt, One Road’ negara China.

WSJ berkata rundingan itu termasuk projek-projek Laluan Rel Pantai Timur dan Saluran Paip Gas Trans Sabah yang akan dibiayai pada harga melebihi harga pasaran untuk menjana wang lebihan untuk kegunaan lain.