Kerajaan akan tubuhkan 2 entiti baharu bagi kawalselia ekonomi dan dasar kerajaan

Kerajaan akan tubuhkan 2 entiti baharu bagi kawalselia ekonomi dan dasar kerajaan

Kerajaan Pakatan Harapan akan menubuhkan dua entiti baharu bagi  kawalselia ekonomi dan dasar kerajaan bagi menyampaikan maklumat bersepadu kepada rakyat.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kelemahan kerajaan semasa kerana rakyat tidak mengetahui apa yang sudah dilaksanakan oleh kerajaan.

“Ini kerana tidak ada penjelasan secara bersepadu. Kita akan mengadakan satu badan yang akan meneliti semua tuduhan dan apa yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

“Walaupun ramai yang percaya parti komponen dalam PH tidak mungkin berjaya tetapi hakikatnya sejak kita mengambil alih kerajaan kita boleh bekerjasama dan laksanakan dasar kerajaan dalam pelbagai bidang antaranya sosial, ekonomi, politik dan lain-lain bidang.

“Walaupun tidak nampak tetapi banyak yang telah dicapai dan kita akan senaraikan kejayaan ini tidak lama lagi,” ujarnya dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya hari ini.

Beliau juga berkata, kerajaan akan menubuhkan sebuah badan berkaitan ekonomi yang akan meneliti dan membuat keputusan berkaitan ekonomi negara bagi mengelakkan pertindihan bidang kuasa kementerian.

“Kita telah bersetuju satu badan tertentu yang akan meneliti dan membuat keputusan berkaitan ekonomi negara.

“Jika dulu ada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mungkin akan ada nama lain, yang mana akan ditentukan semua masalah ekonomi untuk dibawa kepada majlis ini dan kita akan tentukan tindakan dan keputusan akan diambil secepat mungkin oleh kementerian.

“Sekarang ini dilihat berpecah kerana kita tidak ada badan menentukan isu berkaitan pelaburan dan sebagainya. Ada yang pergi ke kementerian tetapi tiada tindakan,” ujarnya.