Malaysia Dateline

Kerajaan akan umum kajian semula NAP pada suku pertama tahun depan

Kerajaan dijangka mengumumkan kajian semula Dasar Automotif Negara (NAP) pada suku pertama tahun depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming berkata dasar yang dikaji semula itu akan meneliti seluruh ekosistem automotif, berdasarkan empat tonggak – mobiliti bersambung, Revolusi Industri 4.0, kecerdasan buatan dan kenderaan generasi akan datang.

“Ia merupakan normal bagi setiap pelan tindakan akan dikaji semula sekali-sekala. Kajian semula NAP 2014 itu kebanyakannya tertumpu kepada kenderaan cekap tenaga, termasuk kenderaan enjin pembakaran dan sedikit teknologi hibrid.

“Pada masa ini, kita mempunyai teknologi (automotif) baharu, termasuk kemungkinan kereta pacuan sendiri, kemajuan pesat kenderaan elektrik dan ekosistem yang diperlukan seperti bateri dan stesen pengecasan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Automotif Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIAC) 2018 di sini hari ini.

Ong berkata kajian semula dasar itu akan turut merangkumi pembangunan projek kereta nasional ketiga.

“Pada masa ini, kami telah menerima lebih 20 cadangan daripada individu, sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan.

“Dalam membuat pilihan yang adil, telus dan komprehensif, kementerian saya telah membangunkan matriks untuk menganalisis dan menilai cadangan itu,” katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan kereta nasional ketiga akan menggunakan teknologi maju untuk meraih bahagian pasaran global.

Ong berkata kereta nasional ketiga akan mematuhi standard pelepasan Euro-6 atau sekurang-kurangnya Euro-5, sambil menambah kerajaan telah menghubungi pengeluar kereta dari Jepun, termasuk Nissan dan Toyota, untuk bantuan.

Bertemakan “Beyond Mobility: Moving Sustainably”, persidangan selama dua hari itu merupakan platform kepada pakar industri dan penggiat utama untuk bertukar-tukar pandangan mengenai hala tuju industri dan ekosistem selepas 2025.

— BERNAMA