Kerajaan aniaya si miskin dengan hapuskan subsidi elektrik

Kerajaan aniaya si miskin dengan hapuskan subsidi elektrik

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar membidas tindakan kerajaan menghapuskan subsidi elektrik berjumlah RM150 juta yang disifatkan sebagai menganiaya rakyat miskin.

Beliau berkata, penarikan subsidi ini sangat tidak wajar selepas subsidi petrol, gula, beras ST 15 dan insentif peningkatan hasil padi dimansuhkan serta pengurangan-pengurangan peruntukan yang dikurangkan dalam Bajet 2016.

“Penghapusan subsidi bil letrik untuk rakyat miskin adalah satu penganiayaan kepada mereka sedangkan dalam bil letrik rumah Perdana Menteri pun berjumlah RM2.2 juta setahun.

“Manakala rumah Timbalan Perdana Menteri pula berjumlah RM800 ribu setahun. Semua ini malangnya ditanggung oleh wang rakyat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau juga, terlalu banyak subsidi pemberian yang selama ini dinikmati rakyat sebagai suatu mekanisma pengagihan kekayaan negara dirampas semula oleh Kerajaan.

“Penghapusan subsidi dan pengurangan peruntukan insentif untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat menjadikan orang miskin hidup tanpa subsidi. Hari ini getah sekerap RM1.90 1kg,” katanya.

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau, dan Air pula melakukan penjimatan dalam Bajet 2016, dengan pengurangan peruntukan sebanyak RM605 juta, kepada RM2.262 billion.

Dan sesetengah rakyat akan menerima kesan apabila subsidi bil elektrik berjumlah RM150 juta turut dimahsuhkan sejajar dengan pemotongan peruntukan kepada kementerian terbabit.

Pada masa ini, pengguna yang mendapat bil kurang atau RM20 sebulan layak menerima subsidi sepenuhnya oleh kerajaan atas nama membantu golongan termiskin.

TAGS