Malaysia Dateline

Kerajaan Australia tutup fasiliti penahanan imigresen utama

Kerajaan Australia telah mengumumkan penutupan dua fasiliti penahanan imigresen dalam pesisir, lapor agensi berita China Xinhua.

Dalam satu langkah yang didakwa kerajaan sebagai satu kemenangan kepada dasar perlindungan sempadannya yang ketat, Menteri Imigresen David Coleman berkata bahawa Maribyrnong di Melbourne dan Villawood di Sydney akan ditutup.

Masing-masing merupakan pusat tahanan imigresen ke-18 dan ke-19 yang ditutup oleh kerajaan ini selepas dua penggal berkuasa.

Terdapat kira-kira 1,250 orang ketika ini di lapan pusat tahanan imigresen yang masih ada di Australia, menyaksikan penurunan daripada 10,200 orang pada pertengahan 2013.

“Kerajaan telah menghentikan bot, mengeluarkan kanak-kanak daripada tahanan dan menutup fasiliti penahanan imigresen yang sebelum ini penuh,” kata Coleman dalam satu kenyataan.

Maribyrnong telah ditutup serta-merta selepas baki tahanan berjumlah 107 orang dipindahkan manakala Villawood akan ditutup menjelang pertengahan 2019.

Menghentikan pencari suaka dari tiba ke Australia dengan bot adalah antara tonggak utama kempen pilihan raya Parti Liberal Nasional pada 2013 yang menyaksikan ia berjaya merebut kuasa daripada Parti Buruh Australia.

“Di bawah kerajaan Buruh sebelum ini, sejumlah 50,000 orang tiba dengan 800 bot manakala 1,200 orang lemas secara tragis di laut dan 8,000 kanak-kanak telah ditahan,” kata Coleman.

“Semasa kemuncaknya pada Julai 2013, terdapat lebih 10,000 orang yang ditahan di fasiliti imigresen Australia, termasuk 2,000 kanak-kanak.”

Semua kanak-kanak yang berada dalam tahanan pada 2013 kini telah dikeluarkan.

Coleman telah menyerang Parti Buruh berkaitan dasar perlindungan sempadannya dan mendakwa bekas kerajaan itu “terpaksa membuka 17 pusat tahanan untuk menangani kegagalan bencana dasar mereka.”

Langkah penutupan kerajaan semasa telah menyelamatkan Australia sebanyak AU$500 juta (US$352.4 juta), katanya.

— BERNAMA