Kerajaan baharu tanpa DAP, AMANAH: Azmin ‘tidak tahu-menahu’

Kerajaan baharu tanpa DAP, AMANAH: Azmin ‘tidak tahu-menahu’

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata tidak tahu-menahu mengenai ada usaha menubuhkan kerajaan baharu tanpa DAP dan AMANAH seperti digemburkan sesetengah pihak.

Menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu, tidak perlu sesiapa pun terlalu gelojoh untuk melakukan sesuatu dalam tempoh satu atau dua tahun ini kerana demokrasi sudah menentukan proses itu akan dikembalikan kepada rakyat dalam tempoh lima tahun.

“Saya tidak tahu-menahu mengenai perkara ini kerana bagi saya rakyat yang akan menentukan kerajaan baharu (melalui pilihan raya) dalam tempoh lima tahun dan ini adalah proses demokrasi yang sudah kita amalkan sejak dari merdeka.

“Setiap lima tahun kita adakan pilihan raya, serah mandat kepada rakyat dan rakyat akan menentukan siapakah kerajaan yang akan dibentuk dan siapakah yang akan pimpin kerajaan berkenaan,” ujarnya.

Azmin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Sambutan Hari Statistik Negara (HSN) 2019 dan Sambutan 70 Tahun Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di Muar, hari ini.

Mengulas lanjut, Azmin yang sebelum ini dikatakan mahu meninggalkan PKR dan menubuhkan parti baharu kerana tidak lagi sehaluan dengan Anwar berkata, sekarang adalah tempoh Malaysia yang sudah rosak sejak sekian lama dibangunkan.

Pada masa sama, Azmin dan beberapa pemimpin PKR dilapor kerap tidak hadir ke mesyuarat parti itu dan tindakan tersebut dikaitkan dengan keretakan hubungan Azmin dan Anwar.

“(Tun) Dr Mahathir (Mohamad) bekerja kuat dengan pasukan Kabinet untuk memastikan mandat yang diberikan rakyat pada tahun lalu itu dapat diterjemah dalam bentuk kerja yang dapat mengangkat martabat rakyat Malaysia.

“Jadi, saya berharap tidak ada mana-mana pihak yang terlalu bercita-cita tinggi atau mengganggu perjalanan atau pentadbiran Dr Mahathir.

“Ini supaya mandat itu dapat dihormati dan diberikan peluang kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan kerja mereka,” katanya lagi.