Malaysia Dateline

Kerajaan baharu tanpa kompromi rasuah, tekad PH

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) tidak akan berkompromi terhadap rasuah dalam usaha mengembalikan mandat rakyat.

Penegasan tersebut dicapai dalam mesyuarat bulanan Majlis Setiausaha yang membincangkan keputusan Pilihanraya Negeri Sabah (PRN), serta usaha di peringkat Persekutuan untuk mengembalikan semula mandat rakyat.

“Pakatan Harapan menegaskan walau apa sekalipun langkah yang diambil dalam mengembalikan mandat rakyat, iltizam dan komitmen terhadap perjuangan menegakkan keadilan, membanteras amalan rasuah, dan memperbaiki institusi badan kehakiman tidak boleh dikompromi.

“Pakatan Harapan turut mendoakan agar Yang di-Pertuan Agong akan sembuh dari sebarang masalah kesihatan dan kekal di bawah lindungan Ilahi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bersama antara AMANAH, Datuk Dr Hatta Ramli; PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution; dan DAP, Loke Siew Fook.