Kerajaan baharu Thailand digesa sambung semula proses perdamaian Selatan Thailand

Kerajaan baharu Thailand digesa sambung semula proses perdamaian Selatan Thailand

Kerajaan Thailand baharu, di bawah pimpinan Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha digesa mewujudkan semula rundingan proses perdamaian dalam tempoh terdekat untuk menamatkan keganasan di selatan Thailand.

Bekas anggota Parlimen Narathiwat, Najmuddin Umar berkata proses damai antara kerajaan Thailand dan Majlis Syura Patani (Mara Patani) yang digantung sejak Februari lepas perlu kembali ke meja dialog apabila pembentukan kerajaan baharu Thailand selesai, dijangka pada bulan ini.

“Saya yakin proses perdamaian akan diteruskan untuk mencari keamanan di selatan Thailand,” katanya kepada Bernama.

Sejak beberapa tahun lepas, Mara Patani yang mewakili beberapa kumpulan pejuang di selatan Thailand telah mengadakan rundingan damai dengan kerajaan Thailand bagi mencari titik noktah kepada konflik yang telah berlarutan sejak 2004.

Namun, proses perdamaian yang diusahakan di selatan Thailand di mana Malaysia bertindak sebagai fasilitator, belum menunjukkan kemajuan walaupun terdapat beberapa percubaan untuk mengatasi perbezaan antara pihak-pihak yang bertelagah.

Pada 3 Februari, Mara Patani bertindak menggantung rundingan damai itu sehingga selesai Pilihan Raya Umum Thailand pada 24 Mac berikutan kecewa dengan tindakan ketua panel perunding kerajaan Thailand, Jeneral Udomchai Thammasarorat yang enggan bertemu dengan panel perunding Mara Patani di Kuala Lumpur.

Namun minggu lepas, Pengerusi Mara Patani, Awang Jabat berkata badan itu bersiap siaga untuk kembali ke meja dialog apabila pembentukan kerajaan baharu selesai.

Sehingga kini, kira-kira 7,000 orang terbunuh dalam konflik yang berlaku di empat wilayah di Selatan Thailand – Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkhla.

Sebelum ini, penganalisis mengenai konflik selatan Thailand, Dr Srisompob Jitpiromsiri dari Prince of Songkla University, Pattani (PSU) berkata, kurangnya kemajuan dalam proses perdamaian adalah antara faktor utama peningkatan keganasan di wilayah-wilayah sepanjang bulan Ramadan.

Beberapa insiden letupan dan tembakan berlaku semasa 10 hari terakhir Ramadan termasuk insiden letupan di pasar Bo Thong, Nong Chik, Pattani pada 27 Mei lepas yang meragut dua nyawa.- BERNAMA