Malaysia Dateline

Kerajaan bangunkan Pelan Induk Basmi Kemiskinan Bandar

Kerajaan akan membangunkan sebuah Pelan Induk Pembasmian Miskin Bandar bagi mengenalpasti golongan yang terhimpit dengan kemiskinan walaupun mereka dikelilingi dengan kemewahan kehidupan di bandar.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, walaupun beberapa pelan sudah dibuat untuk Kuala Lumpur namun, belum ada yang menjurus semata-mata kepada kemiskinan di bandar.

 Katanya, daftar baharu itu merupakan sebuah lagi data dalam merekod maklumat kemiskinan meskipun sebelum ini kerajaan mempunyai pangkalan data keluarga miskin yang dipanggil eKasih.

“ekasih itu akan digunakan sebagai asas tapi apabila kita mempunyai takrif sendiri yang NGO akan hasilkan, maka kita akan ada daftar tersendiri.

“Kita buat usaha berasingan dalam perkara itu khususnya untuk Kuala Lumpur sebab di sini merupakan kehidupan urban di mana terdapat kemiskinan dalam bandar raya yang membangun.

 “Kemiskinan yang terselit di dalam bandar, macam mana kita nak tangani dan apa takrifnya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Membasmi Kemiskinan Bandar 2019 seperti dipetik laporan Malaysiagaazette hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya ketika merasmikan seminar berkenaan Khalid memberitahu, sudah tiba masanya untuk kerajaan mewujudkan sebuah pangkalan data untuk mendaftar orang miskin yang tinggal di bandar.

Ujarnya, satu bancian perlu dibuat untuk mendaftar dengan terperinci orang miskin di bandar raya Kuala Lumpur.

Katanya, meskipun ada pihak yang tidak setuju golongan B40 adalah miskin bandar tetapi adalah lebih baik jika diwujudkan sebuah daftar untuk orang miskin.

Sementara itu Khalid berkata, menerusi seminar yang diadakan pihaknya yakin usaha untuk membasmi kemiskinan bandar akan menemui jalan penyelesaian sebagaimana yang diharapkan.

Bagaimanapun, kajian mengenai penyelesaian itu akan mengambil masa enam hingga sembilan bulan.

Khalid optimis pelaksanaan langkah membasmi kemiskinan dapat bermula pada pertengahan tahun depan selepas segala kajian dilakukan