Malaysia Dateline

Kerajaan belum bercadang izin seluruh penjawat awam aktif politik

Kerajaan belum bercadang untuk membenarkan keseluruhan penjawat awam terlibat aktif dalam politik, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin.

Katanya ini kerana penglibatan penjawat awam secara aktif dalam politik dikhuatiri akan menjejaskan prinsip neutraliti pegawai berkenaan.

“Sebenarnya ada kes-kes kebenaran bertulis diberikan (keterlibatan penjawat awam dalam politik), tetapi kalau boleh, kita (kerajaan) tidak mahu pegawai kerajaan terlibat aktif politik, sebab sifat pegawai kerajaan dan politik berbeza,” katanya pada sesi jawab lisan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mohamed Hanipa menjawab soalan tambahan Datuk Abd Rahim Bakri (PH-Kudat) yang mahukan penjelasan sama ada kerajaan bercadang untuk memudahkan urusan yang diberikan kepada kumpulan sokongan dan pendidik untuk terlibat politik.

Mohamed Hanipa berkata berdasarkan peraturan semasa, kerajaan hanya membenarkan penjawat awam terdiri daripada kumpulan pelaksana dan pegawai perkhidmatan pendidikan gred DG41 hingga DG48 untuk terlibat aktif dalam politik atau memegang jawatan parti, manakala Kumpulan Pengurusan Tertinggi serta Kumpulan Pengurusan dan Profesional adalah dilarang berbuat demikian.

Beliau berkata penglibatan penjawat awam itu bagaimanapun perlu mendapat kebenaran secara bertulis daripada ketua perkhidmatan atau ketua jabatan masing-masing.

“Sekiranya keterlibatan penjawat awam itu dibuat tanpa kebenaran ketua jabatan, pegawai itu boleh dikenakan tindakan tatatertib dengan hukuman bermula daripada amaran sehinggalah ke hukuman buang kerja bergantung tahap keseriusan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan asal Abd Rahim sama ada kerajaan mengenakan halangan kepada penjawat awam untuk menyertai politik dan hukuman kepada mereka yang terlibat tanpa kebenaran majikan.– BERNAMA