Malaysia Dateline

Kerajaan belum muktamadkan hala tuju projek ECRL, kata Menteri Kewangan

Kerajaan masih belum memuktamadkan hala tuju Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), sama ada meneruskannya atau tidak, tertakluk kepada hasil rundingan yang sedang dijalankan, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Menurutnya, kerajaan negeri Selangor menentang projek ECRL kerana rangkaian kereta api dari Gombak ke Pelabuhan Klang akan menjejaskan permohonan Tapak Warisan Dunia Unesco.

“Sekiranya kerajaan bercadang meneruskan projek ini, kajian teliti harus dilaksanakan dari segi persetujuan kerajaan negeri Selangor, skop, spesifikasi dan kaedah pelaksanaan supaya kos keseluruhan projek dapat dikurangkan agar dapat meringankan lagi beban kewangan kerajaan.

“Sekiranya kerajaan bercadang untuk tidak meneruskannya, kemungkinan besar ia akan dirujuk kepada prosedur perundangan bagi menentukan jumlah bayaran pampasan, jika ia perlu dibayar,” katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat, hari inilapor Bernama.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (BN-Maran) yang ingin tahu status terkini projek berkenaan dan justifikasi peningkatan kos pembinaan daripada RM55 bilion kepada RM70 bilion.

Lim berkata, buat masa ini, memandangkan projek ini perlu dikaji semula, kerajaan sudah mengarahkan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD), untuk mengeluarkan notis penggantungan (suspension notice) kerja serta-merta pada 3 Julai 2018 kepada kontraktor utama iaitu China Communications Construction Company (CCCC).

Berikutan itu, semua kerja dan perkhidmatan berkaitan projek ECRL sudah digantung sehingga notis selanjutnya dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.

Menurut Lim, kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini mengumumkan kos projek ECRL sebanyak RM55 billion yang hanya membabitkan kos asas pembinaan projek bagi Fasa 1 bermula dari Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak, Selangor, ke Wakaf Bharu, Kelantan, sebanyak RM46 bilion dan Fasa 2 dari ITT Gombak ke Pelabuhan Klang, Selangor, sebanyak RM9 bilion.

“Kos yang diumumkan oleh kerajaan BN tidak merangkumi Fasa Penambahbaikan berjumlah RM11.78 bilion yang diluluskan Jemaah Menteri pada tahun 2017 membabitkan jajaran tambahan dari Wakaf Baru hingga Pengkalan Kubor, Kelantan, dan pembinaan landasan berkembar sepanjang jajaran ECRL.

“Oleh yang demikian, jumlah kos asas pembinaan landasan kereta api bagi Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa Penambahbaikan adalah RM66.78 bilion,” katanya.

Selepas mengambil kira kos pengambilan tanah (RM2.5 bilion), modal kerja (RM50 juta) dan lain-lain kos operasi (RM500 juta), keseluruhan kos pembangunan adalah RM69.83 bilion, menurut Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Namun begitu, kos projek ECRL yang sebenar adalah sebanyak RM80.92 billion dan ini terdiri daripada kos pembangunan sebanyak RM69.83 bilion dan kos pembiayaan sebanyak RM11.09 bilion.

“Kos-kos berkaitan pembiayaan sebanyak RM11.09 bilion merangkumi bayaran faedah, kupon sukuk, yuran komitmen dan yuran pengurusan sewaktu pembinaan (kos faedah pinjaman selepas pembinaan belum diambil kira).

“Kos dinyatakan ini adalah bukan kos yang baharu kerana anggaran kos keseluruhan ini adalah daripada pentadbiran kerajaan terdahulu dan tidak pernah didedahkan kepada umum,” katanya.

Sekiranya, kerajaan berhasrat meneruskan projek ECRL, ia terpaksa berhadapan dengan kos penyelengaraan sekitar RM600 juta hingga RM1 bilion setahun, tambah Lim.