Malaysia Dateline

Kerajaan beri jaminan cari dalang kekecohan kuil, kata Mahatir

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan memberi jaminan akan mencari dalang yang mencetuskan kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights sehingga menyebabkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim cedera parah.

Muhammad Adib, 24, kini menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami kecederaan parah termasuk tulang rusuk dipercayai selepas dipukul sekumpulan perusuh ketika dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil

Sambil menyifatkan perusuh berkenaan mempunyai niat untuk membunuh, Perdana Menteri berkata polis akan menjalankan siasatan yang rapi bagi mencari pesalah insiden berkenaan.

“Kita sedang berusaha sebaik mungkin mencari pelakunya. Kita tidak ada banyak bukti tapi polis akan buat siasatan rapi bagi mencari siapa yang melakukan tindakan berkenaan.

“Kita boleh ada demonstrasi tapi mestilah secara aman… ini bukan demonstrasi. Ini adalah sesuatu untuk membunuh orang dan mereka datang dengan parang dan segala senjata,” katanya pada sidang media di IJN hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata tindakan mengupah orang Melayu untuk menjaga kuil itu adalah perbuatan tanpa berfikir.

Mengenai tindakan peguam syarikat pemaju terlibat mengupah sekumpulan lelaki Melayu untuk menceroboh dan mengawal kuil itu, Perdana Menteri berkata : “Orang asing dia tak faham budaya orang Malaysia… tidak boleh buat macam itu.Sekiranya kita tahu siapa yang melakukannya, saya rasa AG (Peguam Negara) perlu adakan kes terhadap ini.”

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan insiden kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman tiada kaitan dengan isu perkauman sebaliknya siasatan polis mendapati peguam syarikat pemaju telah mengupah sekumpulan lelaki Melayu untuk menceroboh dan mengawal kuil berkenaan.

Berhubung permintaan pihak pengurusan kuil meminta beliau campur tangan dalam isu pemindahan kuil, Dr Mahathir berkata beliau akan membuat kenyataan berhubung perkara itu di Parlimen esok.

Terdahulu, Dr Mahathir meluangkan masa setengah jam melawat Muhammad Adib, yang sedang menerima rawatan di IJN selepas menerima rawatan awal dan dipindahkan dari Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).

Memaklumkan keadaan terkini Muhammad Adib, Dr Mahathir berkata jantung, paru-paru dan buah pinggang Muhammad Adib masih berfungsi berikutan kepakaran doktor-doktor di IJN.

Dalam kejadian awal pagi Selasa, Muhammad Adib dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil tersebut.

Turut hadir melawat Muhammad Adib, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran dan Timbalan Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT), Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah.