Malaysia Dateline

Kerajaan beri jaminan kepada Parlimen isu Pandora Papers akan disiasat

Kerajaan memberi jaminan akan menyiasat isu Pandora Papers yang mendakwa beberapa pemimpin negara mempunyai akaun luar persisir dengan membawa sejumlah wang Malaysia ke luar negara secara haram untuk mengelak dikenakan cukai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, memberi jaminan berkenaan selepas ditanya Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson).

Beliau berkata, kerajaan akan memberi arahan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menggerakkan siasatan dan memberi jawapan kepada Parlimen.

“Saya bagi jaminan saya akan jemput semua agensi yang berhomat sebut tadi iaitu SPRM, BNM, Commercial Crime Police Department dan pihak lain untuk memberi arahan dari perdana menteri supaya penyiasatan dilaksanakan.

“Kita akan berbincang menentukan tarikh menetapkan jawapan untuk diberi kepada pihak Parlimen apabila setelah keputusan didapati dari penyiasatan itu,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Anwar dalam sesi jawab lisan pagi ini mendesak kerajaan dan Perdana Menteri untuk mengeluarkan satu arahan tetap kepada badan-badan penguatkuasaan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk melakukan siasatan dan memberi tempoh kepada kesemua agensi untuk mengambil tindakan.

Beliau menegaskan, isu membawa ke luar wang secara haram sudah pun berlaku sejak tahun 2012 namun masih tiada lagi tindakan yang diambil.

Beliau turut membantah tindakan-tindakan kecil dilakukan kerana ia sudah berlaku hampir 10 tahun dan memerlukan tindakan agresif.

Beliau juga menyifatkan kelewatan kerajaan untuk mengenakan tindakan terhadap nama-nama yang didakwa, merupakan satu langkah untuk berdalih dan melengahkan.

“Buat siasatan kerana dah 5, 10 tahun. Ambil tindakan, bukan tindakan-tindakan kecil. Ini (melibatkan) nama-na besar. Kalau tak salah, bagitahu Parlimen. Bagi laporan bagitahu yang dia tak salah.

“Apakah tidak mungkin kerajaan menetapkan satu pengarahan jelas kepada SPRM, BNM, LHDN agar ambil tindakan dan beri tempoh supaya tindakan diambil? sebab dah 10 tahun tak ada tindakan,” kata Anwar.

Sementara itu Wan Junaidi berkata, penggunaan akaun luar persisir bukan satu kesalahan di bawah undang-undang melainkan terdapat bukti salah laku jenayah oleh mana-mana individu dan syarikat.